Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah merupakan program pengeluaran lembu secara besar-besaran dengan mewujudkan satu kawasan penternakan lembu secara meluas. Program ini diwujudkan di bawah pelaksanaan dan seliaan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Tujuan utama NFC dibangunkan adalah untuk meningkatkan bekalan daging lembu negara. Ia dibangunkan di bawah Projek New Agriculture Integrated Development bagi memastikan peningkatan SSL daging lembu daripada 23% kepada 37% menjelang tahun 2010. Sebanyak 310 ladang satelit (180 unit dibangunkan oleh JPV dan 130 unit dibangunkan oleh NF Corp.) akan dibangunkan di seluruh negara yang mana komponen utamanya adalah di Gemas, Negeri Sembilan. Ia akan diterajui oleh syarikat integrator utama yang menaungi usahawan-usahawan fidlot secara kontrak di ladang yang sama atau sekitarnya (ladang satelit iaitu milik persendirian). Integrator ini membekalkan input utama seperti makanan ternakan dan lembu feeder, kemudian membeli balik ternakan untuk pemasaran dan pemprosesan. Melalui konsep ini, sumber makanan import (feeder import) akan dapat dikurangkan dan digantikan dengan sumber dari dalam negara secara berperingkat. Dalam RMK-9, seluas 2,000 ha kawasan telah ditawarkan untuk pembangunan Pusat Fidlot Nasional di Gemas. NFC mensasarkan pengeluaran sebanyak 2.8 ribu m.t kapasiti ternakan menjelang tahun 2010. Bagi ladang kontrak/satelit seramai 200 pengusaha disasarkan untuk kawasan TKPM dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 16.8 m.t menjelang tahun 2010. Bagi kontrak individu pula seramai 110 pengusaha dengan kapasiti pengeluaran 10 ribu m.t menjelang tahun 2010. Pencapaian sehingga Julai 2009 menunjukkan prestasi keseluruhan program ini telah siap dibangunkan seluas 809 ha di NFC Gemas di mana pihak Kerajaan telah memberi bantuan infrastruktur asas seperti jalan ladang, bekalan air dan elektrik, kolam takungan, sistem saliran, tanaman foder dan pembangunan abatoir. Sebanyak 6,000 ekor lembu sedang diternak dengan hasil output 4,150 ekor setahun. Manakala pengeluaran karkas adalah sebanyak 789.5 m.t setahun dengan nilai RM 9.5 juta. Bagi pembangunan ladang satelit pula, pihak JPV telah membangunkan 71 unit ladang satelitnya di negeri Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan. Hasil output adalah 1,337 ekor setahun dengan hasil karkas sebanyak 170.64 m.t setahun yang bernilai RM 1.5 juta. Walau bagaimanapun pembangunan 130 unit lagi ladang satelit oleh NF Corp. dijangka bermula pada pertengahan tahun 2010 atas sebab-sebab tertentu. 
Tarikh Akhir Dikemaskini : 30 November 2009
Paparan : 1138
|
|