KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar hari ini menegur sikap sebilangan peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) yang liat membayar balik pinjaman sehingga menjejaskan kelancaran tabung itu menyalurkan pinjaman kepada orang lain yang memerlukan. Justeru beliau berharap mereka dapat membayar balik pinjaman setakat yang termampu terlebih dahulu supaya tidak menjejaskan peluang bakal peminjam lain. Noh berkata peminjam yang bermasalah membayar balik pinjaman hendaklah berjumpa pegawai para pegawai Tekun dan Agro Bank untuk membincangkan jumlah pinjaman yang mampu dibayar supaya penjadualan semula bayaran dapat dibuat. Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Keusahawan: Peluang Perniagaan dan Pembiayaan Modal di sini hari ini, Noh berkata kegagalan membayar pinjaman menyebabkan timbulnya rungutan Tekun lambat meluluskan pinjaman. "Kalau semua peminjam ada semangat demikian (bayar pinjaman), maka tidak timbul lagi rungutan itu kerana perkara ini berlaku akibat jangkaan kutipan hutang dengan jangkaan duit yang kita nak bayar itu tak tercapai. "Sebagai contoh kalau kutipan RM30 juta sebulan, tapi hanya dapat RM10 juta bermakna kita kekurangan RM20 juta utuk membuat pusingan pinjaman kepada peminjam baru," katanya. Bagi peminjam yang membayar mengikut jadual pula, peminjam berkenaan akan diberi rebat dan diberi peluang untuk membuat pinjaman kedua, kata Noh. "Jika dia patut habis (bayar) dalam tempoh tiga tahun, tapi dalam tempoh dua tahun dia bayar bagus, dia boleh pinjam untuk tambah lagi pinjaman dia. Ini satu galakan kepada peminjam untuk membayar hutang," katanya. Sementara itu, Noh berkata kerajaan telah memberikan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk Agro Bank dan peruntukan tambahan RM50 juta untuk Tekun bagi tujuan pinjaman. Menurut Noh, kedua-dua agensi ini bersama Persatuan Peladang Kawasan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) perlu menubuhkan satu jawatankuasa supaya agihan pinjaman dapat diberikan dengan lebih tersusun. "Saya telah minta keutamaan diberikan dalam bentuk mentor mentee, dalam sistem rakan niaga ataupun ataupun melalui "anchor" tertentu dan juga dalam bentuk kontrak perladangan," katanya. -- BERNAMA |