Soalan Lazim Soalan Lazim

Eksport Komoditi
  1. Bagaimana caranya untuk saya mengeksport durian ke China?
  Pada masa ini, hanya durian dalam bentuk pulp dan paste yang boleh dieksport ke China. Secara ringkasnya, ladang yang membekalkan durian dan fasiliti pemprosesan durian dalam bentuk pulp dan paste perlu berdaftar dengan Jabatan Pertanian (DOA). Ladang tersebut juga perlu mempunyai sijil MyGAP. Senarai nama ladang dan fasiliti pemprosesan yang diluluskan oleh DOA ini seterusnya akan dikemukakan untuk kelulusan oleh The General Administration of Custom People's Republic of China (GACC). Butiran lanjut mengenai syarat-syarat pengeksportan durian dalam bentuk pulp dan paste boleh diperolehi daripada laman sesawang berikut : http://www.doa.gov.my
   
  1. Bilakah Malaysia boleh mula mengeksport durian dalam bentuk biji (whole fruit) ke China?
  Malaysia baharu sahaja menandatangani protokol pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruit) dengan China pada 20 Ogos 2018. Sebelum produk ini dapat dieksport ke China, semua fasiliti pemprosesan yang berminat perlulah memenuhi keperluan protokol pengeksportan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia dan negara pengimport dan mendapat kelulusan untuk mengeksport oleh pihak berkuasa negara pengimport. Butiran lanjut mengenai syarat-syarat pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruit) boleh diperolehi daripada laman sesawang berikut : http://www.doa.gov.my
   
  1. Bagaimana saya ingin mengeksport produk sarang burung walit ke China?
  Pada masa ini, hanya sarang burung walit mentah bersih (raw-cleaned edible bird nest) yang boleh dieksport ke China. Secara ringkasnya, semua rumah burung dan fasiliti pemprosesan sarang burung walit mentah bersih hendaklah berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Senarai rumah burung dan fasiliti pemprosesan ini seterusnya akan dikemukakan untuk kelulusan oleh The General Administration of Customs People’s Republic of China (GACC). Butiran lanjut mengenai syarat-syarat pengeksportan sarang burung walit mentah bersih boleh dirujuk kepada JPV.
   
  1. Adakah MOA mengenakan sebarang kuota atau mengeluarkan sebarang Approved Permit (AP) untuk tujuan pengeksportan produk sarang burung walit?
  MOA tidak mengenakan kuota atau mengeluarkan AP untuk tujuan pengeksportan produk sarang burung walit ke mana-mana destinasi negara asing, sebagai contohnya ke negara China. Mana-mana syarikat yang berpotensi bebas untuk mengeksport produk sarang burung walit ke negara pengimport, tertakluk bahawa mereka memenuhi keperluan protokol pengeksportan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia dan negara pengimport, dan mendapat kelulusan untuk mengeksport oleh pihak berkuasa negara pengimport
   
  1. Mengapakah sesuatu permohonan untuk mengeksport produk segar ke sesebuah negara pengimport mengambil masa terlalu lama untuk diluluskan?
 

Tempoh masa untuk merundingkan laluan akses pasaran eksport bahan pertanian terutamanya produk segar terbahagi kepada dua (2) jenis kategori negara iaitu:

  1. Tempoh masa yang singkat – Negara-negara yang mengenakan syarat pengimportan yang kurang ketat (sanitary and phytosanitary – SPS) dan hanya memerlukan Sijil Fitosanitasi sahaja. Contoh negara adalah seperti Hong Kong, Singapura, Eropah, Timur Tengah, Kanada, Brunei dan Taiwan.
  2. Tempoh masa tidak terhad – Negara-negara yang mengenakan syarat pengimportan yang ketat (sanitary and phytosanitary – SPS) dan memerlukan rundingan dua (2) hala, penyediaan dokumen teknikal, penyediaan analisis risiko perosak serta pematuhan kepada protokol pengimportan. Contoh negara adalah seperti Amerika Syarikat, China, Australia, Korea, New Zealand dan Jepun.
   
  1. Apakah jenis bantuan atau insentif yang disediakan oleh MOA untuk menggalakkan pengeksportan produk pertanian dan industri asas tani?
  Salah satu inisiatif MOA untuk membantu menggalakkan pengeksportan produk pertanian dan industri asas tani adalah melalui penyediaan peluang kepada usahawan untuk menyertai aktiviti promosi di dalam dan luar negara. Aktiviti promosi ini merangkumi penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa mahu pun penganjuran in-store promotion. MOA akan membiayai sebahagian kos penyertaan seperti yuran pendaftaran, penyewaan tapak pameran dan kos logistik. Sila hubungi Bahagian Pemasaran dan Eksport untuk pertanyaan lanjut mengenai peluang yang ditawarkan.
   
  1. Apakah produk pertanian yang ingin dieksport ke luar negara memerlukan permit eksport?
  Semua produk pertanian yang ingin dieksport ke luar negara memerlukan permit eksport, di samping beberapa dokumen tambahan yang tertakluk kepada keperluan negara pengimport. Pendaftaran dan permohonan permit boleh dikemukakan kepada MAQIS melalui laman sesawang: http://epermit.dagangnet.com/epermit.jsp
Import Komoditi
  1. Apakah keluaran pertanian yang perlu mendapat kelulusan kuota import (Approved Permit – AP) dan bagaimanakah cara memohon kuota import tersebut?
 

Pada ketika ini terdapat lima (5) keluaran pertanian yang perlu mendapat kelulusan kuota import seperti berikut:

  1. kubis bulat;
  2. kelapa tua biji;
  3. susu cair;
  4. keratan ayam; dan
  5. beras.

Permohonan kuota import bagi kubis bulat dan kelapa tua biji boleh dikemukakan kepada Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). SOP berkaitan boleh diperolehi daripada laman sesawang DOA di http://www.doa.gov.my

Permohonan kuota import bagi susu cair dan keratan ayam boleh dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). SOP bagi pengimportan susu cair dan keratan ayam masing-masing boleh didapati di laman sesawang DVS di http://www.dvs.gov.my

Bagi beras, pada masa ini permohonan kuota import hanya dibuka kepada pihak BERNAS sahaja sebagai pengimport tunggal berdasarkan perjanjian konsesi yang ditandatangani bersama Kerajaan.
   
  1. Bagaimanakah jumlah kuota import ditentukan?
  Jumlah kuota import diluluskan berdasarkan jumlah keperluan negara dengan mengambil kira jumlah pengeluaran tempatan dan jumlah keluaran pertanian yang ditambah nilai untuk eksport.
   
Insentif / Geran / Dana / Pelaburan
  1. Apakah bentuk insentif yang disediakan MOA bagi sektor agromakanan?
 

MOA menawarkan insentif fiskal bagi Projek Pengeluaran Bahan Makanan Yang Diluluskan. Galakan ini diberi sebagai dorongan atau galakan kepada syarikat swasta untuk melaksanakan projek pengeluaran bahan makanan. Ia bertujuan untuk menarik penyertaan dan meningkatkan pelaburan pihak swasta di dalam industri agro makanan.

Galakan yang diberikan adalah dalam bentuk potongan cukai kepada syarikat pelabur dan pengecualian cukai syarikat yang melaksanakan Projek Pengeluaran Bahan Makanan Yang Diluluskan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang layak. Pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun perniagaan selama 10 tahun taksiran bagi Projek Baharu dan 5 tahun taksiran bagi Projek Pembesaran, bermula dari tahun taksiran pertama syarikat memperolehi pendapatan berkanun perniagaan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Insentif ini boleh dimohon melalui: https://siapp.moa.gov.my

Syarikat/Pertubuhan yang layak memohon insentif ini adalah:

  1. Syarikat Yang Diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965;
  2. Pertubuhan Koperasi yang berasaskan pertanian;
  3. Pertubuhan Peladang Kawasan;
  4. Pertubuhan Peladang Persekutuan;
  5. Pertubuhan Peladang Negeri;
  6. Persatuan Nelayan Kawasan;
  7. Persatuan Nelayan Persekutuan;
  8. Persatuan Nelayan Negeri; dan
  9. *Pemilikan Tunggal
  10. *Perkongsian; atau
  11. *Pertubuhan / Persatuan
dan BERMASTAUTIN di Malaysia
   
  1. Apakah komoditi yang diluluskan insentif fiskal (pengecualian cukai) bagi sektor agromakanan?
 

Komoditi yang diluluskan insentif fiskal adalah seperti berikut:

  1. Tanaman – sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, tanaman industri, rempah ratus, herba dan tanaman makanan ternakan;
  2. Ternakan – lembu, kambing, biri-biri, kerbau dan rusa;
  3. Perikanan tangkapan – laut dalam;
  4. Akuakultur – kolam, sangkar dan rumpai laut; dan
  5. Apikultur – Lebah madu dan kelulut
   
  1. Bagaimanakah MOA membantu pelabur asing yang beminat untuk melabur di dalam sektor agromakanan di Malaysia?
 

Pelaburan asing di dalam sektor agromakanan Malaysia adalah salah satu pendekatan yang membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian melalui perpindahan teknologi, kepakaran serta pelaburan modal oleh pelabur luar negara.

MOA bertindak sebagai pemudahcara yang menghubungkan pelabur dengan pihak yang berkenaan dalam memberi khidmat nasihat berkaitan keperluan teknikal, pematuhan peraturan berkaitan, business matching dan isu-isu berkaitan. MOA dengan kerjasama Kerajaan Negeri turut mengenal pasti lokasi pelaburan yang berpotensi di setiap negeri beserta komoditi yang bersesuaian untuk diteroka. Setiap pelabur yang berminat perlulah mengemukakan cadangan pelaburan yang lengkap dan memberi penekanan kepada impak pelaburan kepada sektor agromakanan negara.
   
  1. Bagaimanakan proses bagi membantu jabatan/ agensi membuat permohonan bagi mendapatkan dana/ tajaan untuk projek-projek yang berkaitan dengan pertanian?
 

Kementerian/ Jabatan/ Agensi perlu menyediakan kertas konsep bagi projek atau aktiviti yang akan dilaksanakan. Kertas konsep tersebut perlu dikemukakan kepada Bahagian Antarabangsa bagi memohon dana/ tajaan dari FAO, APEC, COMCEC, CABI dan lain-lain pertubuhan pelbagai hala yang lain. Kelulusan bagi mendapat dana / tajaan akan bergantung kepada skop projek dan jumlah dana sedia ada bagi pertubuhan tersebut.

   
  1. Apakah kriteria atau syarat yang diperlukan untuk memohon bantuan atau insentif Kerajaan bagi industri ruminan?
 

Kriteria atau syarat pemohonan berbeza-beza mengikut bantuan atau insentif dan juga mengikut Negeri. Senarai kriteria boleh diperolehi di Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan, DVS Putrajaya atau di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah di negeri berkaitan. (Lampiran berkenaan kriteria asas).

   
  1. Dengan agensi mana saya boleh memohon pembiayaan ini?
 

Anda boleh memohon pembiayaan Program Agropreneur Muda melalui TEKUN atau Agrobank Cawangan berhampiran tapak projek. Walau bagaimanapun, projek yang dipohon perlu disokong oleh Jabatan / Agensi Teknikal MOA yang berhampiran kawasan projek.

   
  1. Apakah syarat-syarat untuk memohon Geran Agropreneur Muda dibawah Program Agropreneur Muda ini?
 

Syarat Permohonan :

  1. Berumur antara 18-40 tahun
  2. Warganegara Malaysia
  3. Boleh membaca dan mengira
  4. Wajib mengikuti program latihan teknikal anjuran Jabatan & Agensi berkaitan (bagi usahawan Projek Baru)
  5. Keutamaan kepada belia yang mempunyai kemudahan tanah/premis sedia ada
   
  1. Apakah dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menghantar permohonan ini?
 

Senarai Dokumen yang diperlukan:

  1. Borang Pendaftaran 01/14 (pin. 1/18)
  2. Salinan Kad Pengenalan
  3. Borang Penilaian 05/17 (pin.01/18)
  4. Rancangan Perniagaan
  5. Dokumen keterangan hak milik tanah/premis atau perjanjian sewa / surat kebenaran
  6. Sijil kursus teknikal / sijil kelayakan berkaitan projek
  7. Borang Permohonan Pembiayaan TEKUN/Agrobank (jika berkenaan)
   
  1. Saya telah menjalankan projek pertanian lebih setahun dan mempunyai anggaran pendapatan lebih RM5,000.00 sebulan. Adakah lagi inisiatif lain yang saya boleh dapat?
 

Ya. Pakej Pembiayaan mudah ada disediakan bagi pengembangan projek sedia ada di bawah Program Agropreneur Muda. Pembiayaan ini menawarkan sehingga RM200,000.00 dengan kadar faedah serendah 2% setahun kepada usahawan yang berminat mengikut syarat yang ditetapkan dalam Program Agroprenuer Muda.

   
  1. Apakah syarat-syarat untuk memohon Pembiayaan dibawah Program Agropreneur Muda ini?
 

Syarat Permohonan :

  1. Berumur antara 18-40 tahun
  2. Warganegara Malaysia
  3. Tidak mengira latar belakang Pendidikan
  4. Boleh membaca dan mengira
  5. Mengikuti program latihan teknikal anjuran Jabatan & Agensi berkaitan
  6. Keutamaan kepada belia yang mempunyai kemudahan tanah/premis sedia ada
  7. Telah menjalankan projek / perniagaan lebih setahun
   
  1. Bolehkah saya menghantar terus permohonan saya ke Unit Agropreneur Muda (UAM), MOA?
 

Boleh. Walau bagaimanapun, pihak UAM akan menghantar semula permohonan anda ke Pejabat Jabatan/Agensi Daerah yang sesuai dan berdekatan dengan lokasi projek anda bagi mendapatkan sokongan dan ulasan teknikal projek.

   
  1. Saya adalah pelajar lulusan Sijil / Diploma / Ijazah dalam bidang pertanian dari IPTA. Bolehkah ia diterima menggantikan sijil kursus?
 

Boleh jika ia berkaitan dengan bidang yang diceburi. (Contohnya : mempunyai Diploma Perikanan, ingin menjalakan projek ternakan ikan air tawar).

   
  1. Berapa lama tempoh saya boleh mengetahui kelulusan permohonan geran saya?
 

Permohonan ini memerlukan beberapa tapisan di peringkat Daerah, Negeri dan Ibu Pejabat serta mengikut turutan permohonan yang masuk terlebih dahulu sebelum ia diluluskan. Hanya yang lulus akan diberitahu dan sekiranya tiada jawapan dalam tempoh 6 bulan, permohonan dikira gagal.

   
  1. Berapa lama tempoh saya boleh mengetahui kelulusan permohonan pembiayaan saya?
 

Permohonan pembiayaan tertakluk kepada kelulusan agensi pembiaya seperti TEKUN dan Agrobank selepas mendapat surat sokongan teknikal dari Jabatan Teknikal MOA dan pengesahan dari UAM. Walau bagaimanpun,  permohonan anda akan diproses dalam tempoh 21 hari (jika dokumen telah lengkap) dan permohonan pembiayaan yang diluluskan akan dimaklumkan terus oleh agensi pembiaya.

   
  1. Jenis bantuan yang disediakan oleh Kerajaan yang boleh dipohon oleh usahawan muda / MyAgrosis?
 

Antara bantuan yang ditawarkan kepada orang muda (18 – 40 tahun) untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian/agromakanan adalah:

i) Geran In Kind Contribution (Geran Agropreneur Muda)
Bantuan berbentuk Geran Agropreneur Muda (GAM) disediakan oleh pihak MOA bagi tujuan membantu agropreneur muda menceburi sektor pertanian.

ii) Penyertaan Promosi
Bantuan ditawarkan kepada usahawan muda berpotensi dan diberikan dalam bentuk bayaran sewaan tapak promosi/karnival dalam negara yang bertaraf antarabangsa (MIHAS, MIFB, HALALFEST)

iii) Tranformasi Agropreneur MyAgrosis
MyAgrosis Coaching Program diperkenal bagi mengangkat ahli kelab MyAgrosis berpotensi di IPT untuk menjadi usahawan muda seawal peringkat tahun akhir pengajian di IPT.

Pemasaran
  1. Bagaimana MOA dapat membantu mengatasi manipulasi harga makanan asas oleh orang tengah?

 

MOA melalui agensinya menyediakan saluran pasaran berkonsepkan dari ladang terus ke pengguna seperti pasar tani, MyFarm Outlet (MFO) dan MyBest Buy di seluruh negara. Saluran ini menawarkan bekalan hasil pertanian pada harga yang berpatutan iaitu 5-20 peratus lebih rendah bagi komoditi terpilih berbanding harga pasaran.

Sehingga Mei 2018, sebanyak 204 outlet MFO telah beroperasi manakala pasar tani telah diadakan di 379 lokasi seluruh negara. Saluran pasaran ini akan diperluaskan khususnya di kawasan luar bandar.
   
  1. Apakah program yang disediakan oleh MOA bagi membantu pemasaran dan pengedaran produk agromakanan di seluruh negara?
  Dalam usaha pemasaran produk agromakanan di seluruh negara, MOA melalui agensi melaksanakan pelbagai program seperti Program Ladang Kontrak, Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak ke Pasaran (KUKUH), Program Pembinaan Pusat Pengumpulan Ladang, Program Usahawan Motosikal Roda Tiga, Program Pasar Tani, Program Pasar Nelayan, Program Pusat Pengumpulan & Pengedaran Ikan (CCDC), Program Qfish dan Program FishPro.
   
  1. Apakah peluang yang disediakan oleh MOA kepada para usahawan terutamanya bagi mempromosikan produk-produk usahawan berasaskan pertanian?
  Pihak MOA sentiasa menyediakan peluang kepada para usahawan untuk mempromosikan produk mereka. Antara lain, tawaran ini akan diberikan kepada usahawan yang berdaftar di bawah Jabatan/Agensi MOA untuk turut sama menyertai program promosi yang dianjurkan atau disertai oleh MOA di peringkat dalam dan luar negara pada setiap tahun. Produk usahawan hendaklah memenuhi kriteria ready to export serta mendapat pengiktirafan/ pensijian seperti HACCP, Halal, GMP dan lain-lain bergantung kepada keperluan program dan syarat daripada kemasukan negara pengimport.
   
  1. Bagaimana MOA dapat membantu pemain industri tempatan memperkenalkan produk agromakanan ke pasaran luar negara?
  Bagi memperkasakan peluang dan penerokaan pasaran baru di luar negara, MOA telah mewujudkan kerjasama strategik melalui Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) di luar negara bersama para pengimport dan pemain industri. Siri perbincangan dan business matching di antara pengimport dan pengeksport turut di atur oleh MOA untuk meneroka pasaran baru di dalam mahupun di luar negara. PPP luar negara berada di tujuh (7) lokasi iaitu Bangkok, Dubai, Washington, Tokyo, The Hague, Sydney dan Beijing.
   
  1. Bagaimana mendapatkan khidmat nasihat/info terkini mengenai perkhidmatan/program yang ditawarkan oleh MOA?
 

Pusat Pembangunan Perniagaan Pertanian dan Makanan (Agri-BDC) ialah pusat sumber dan maklumat setempat yang diwujudkan oleh MOA bagi menyokong dan membangunkan perniagaan dalam bidang agromakanan. Pusat Agri-BDC terletak di aras lobi MOA, Blok 4G1.

Pusat ini juga dapat memudahkan orang awam (penyelidik/ jabatan/ agensi dan individu) dan pihak swasta (usahawan dan syarikat) untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan serta membantu orang awam dan pihak swasta memahami dengan lebih dekat peranan MOA.
   
Latihan
  1. Apakah latihan/kursus yang disediakan oleh Jabatan untuk penternak baru dan yang sedang menceburi bidang ternakan lembu tenusu?

 

Jabatan menganjurkan kursus/latihan berkaitan asas-asas penternakan, pengurusan ekonomi ternakan, pembiakan ternakan dan lain-lain yang dijalankan bagi memastikan ilmu pengetahuan dan kecekapan penternak dapat ditingkatkan. Pengusaha yang berminat boleh memohon melalui Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu yang terdekat bagi menyertai kursus yang dianjurkan.

   
  1. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat kursus teknikal yang diperlukan?
 

Anda boleh merujuk kepada Jabatan / Agensi dibawah MOA yang terlibat seperti Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perikanan (DOF), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Ada juga kursus / latihan dilaksanakan oleh NGO / Jabatan kerajaan dibawah kementerian lain bersama Jabatan / Agensi Teknikal MOA. Sijil kursus ini juga kami terima.
   
  • Jabatan Pertanian icon
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar icon
  • Jabatan Perikanan Malaysia icon
  • Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) icon
  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) icon
  • Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) icon
  • Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) icon
  • Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) icon
  • Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia icon
  • Agrobank icon
  • Taman Botani Negara Shah Alam icon
  • Bioeconomy Corporation icon
  • MSC Malaysia icon
  • myGovernment icon