Matlamat TKPM ditubuhkan adalah untuk mewujudkan kawasan pengeluaran makanan kekal dan melahirkan usahawan-usahawan di dalam sektor pertanian disamping untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam bidang pengeluaran makanan.
Konsep pelaksanaan TKPM ini memerlukan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi mewartakan tanah-tanah yang telah dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan. Manakala Kerajaan Persekutuan pula berperanaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur asas bagi projek yang akan dibangunkan. Setelah melalui proses pewartaan, tanah akan disewakan kepada usahawan atau syarikat swasta bagi mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran berskala komersil. Antara jenis tanaman yang diusahakan adalah sengkuang, cili, jagung, pitaya, tembikai, melon, tomato, nangka, betik dan banyak lagi.
Pencapaian setakat ini menunjukkan bahawa projek TKPM telah memperolehi hasil yang menggalakkan dan amat berpotensi untuk diperluaskan. Pengamalan teknologi perladangan yang digunakan dalam projek ini juga adalah yang terkini dan moden seiring dengan pelaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP). Projek ini juga mampu meningkatkan penglibatan usahawan baru dalam bidang pengeluaran tanaman. Selain itu, penglibatan daripada pihak swasta amatlah digalakkan untuk menjadi “anchor company” dalam program TKPM ini. Pusat penggumpulan/penggredan hasil juga dibangunkan bagi tujuan memudahkan hasil tanaman dikumpul dan dipasarkan dengan harga yang berpatutan dan mempunyai nilai kualiti yang lebih terjamin.
RMK- 9 mensasarkan 60 projek TKPM dibangunkan dengan keluasan seluas 5,594 ha. Nilai pengeluaran dan peserta yang disasarkan dalam program TKPM ini adalah 184,300 m.t dengan nilai RM 197 juta dan penglibatan 1000 peserta. Sehingga Julai 2009, seluas 4,339 ha kawasan telah dibangunkan dengan seramai 800 peserta terlibat. Manakala sebanyak 110,000 m.t hasil pengeluaran yang bernilai RM 113 juta telah berjaya dipasarkan.
Pada 13 Januari 2009, Majlis Pelancaran Projek TKPM dan Projek Pertanian Moden Lanchang, Temerloh, Pahang telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Program TKPM/PPM Lanchang ini turut memfokuskan kepada pembangunan projek TKPM Swasta dengan keluasan 2,800 ha. Sehingga Jun 2009, 32 syarikat telah menyertai projek ini dan seluas 2,266 ha kawasan sedang dibangunkan. Seluas 1,062 ha daripada kawasan tersebut sudah bertanam manakala 133.7 ha daripada kawasan bertanam itu telah berhasil. Hasil pengeluaran dicatatkan 1,085 m.t dengan nilai RM 1.6 juta. 
|