Amaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Daripada AS Amaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Daripada AS

Amaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Daripada AS (FDA) tentang Penipuan Ekonomi dalam Komuniti Makanan Laut.

 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (US Food and Drug Administration, FDA) telah menekankan mengenai amalan penyelewengan ekonomi (economic fraud) dalam komuniti makanan laut berikutan bertambahnya bilangan kes penipuan "berat terkurang" ("short weight") yang dilakukan oleh pengeluar dan pengimport makanan laut di AS. Selama beberapa tahun ini, pengeluar makanan laut di AS dan juga di negara lain menawarkan produk "berat bersih" ("net weight") untuk jualan atau eksport. Amalan ini menawarkan produk yang sebenarnya merupakan produk "berat terkurang" kerana kandungan ikannya adalah kurang daripada yang diisytiharkan pada label bungkusan. Amalan ini menyalahi undang-undang keselamatan makanan dan perlindungan pengguna AS. Institut Perikanan Kebangsaan (National Fisheries Institute, NFI), iaitu kumpulan perdagangan makanan laut yang utama di AS, menaja pembangunan Better Seafood Board (BSB) untuk membantu memerangi masalah yang semakin meruncing ini. Ahli-ahli NFI tetap bimbang bahawa mereka menghadapi persaingan yang tidak adil daripada pengeluar yang menjual produk berat terkurang ini. Melalui BSB, ahli-ahli NFI komited untuk menjual hanya produk yang telah dilabelkan secara tepat bagi berat, spesies, negara asal dan lain lain syarat-syarat pelabelan. NFI juga telah membawa isu ini kepada perhatian pelbagai pihak dalam kerajaan AS.

Pada Februari 2009, FDA telah mengeluarkan sepucuk surat kepada industri berkenaan dengan menyatakan semula dasar yang menjelaskan bahawa pemproses yang memasukkan bahan sadur (glaze) sebagai sebahagian daripada berat makanan laut sejuk beku adalah melakukan penipuan menurut Akta Makanan, Ubat-Ubatan dan Kosmetik Persekutuan (Federal Food, Drug and Cosmetic Act). Pada Oktober 2009, FDA mengambil tindakan ke atas sebuah syarikat dari Illinois kerana melancungkan produk udang beku dengan menambahkan berat dengan bahan sadur dan bahan sadur "perap." Firma itu juga didapati tidak melabelkan spesies dengan betul, dan ini juga menyalahi undang-undang. Pesuruhjaya FDA yang baru, Dr. Margaret A. Hamburg menyatakan bahawa beliau menjangkakan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan bagi isu penipuan ekonomi seperti isu berat terkurang ini. NFI dan BSB menyokong langkah yang diambil oleh FDA untuk memastikan semua pembekal makanan laut bersaing dengan cara yang adil. NFI menggesa pihak berkuasa yang berkenaan di Malaysia supaya memastikan semua syarikat memahami peraturan eksport ke AS dan mengelak daripada menawarkan atau menjual produk dalam "berat bersih." Amalan seperti menjual produk berat terkurang akan menjejaskan reputasi pengeksport makanan laut Malaysia dan boleh membawa risiko terhadap aliran perdagangan ke Amerika Syarikat pada masa depan.

Mulai 2010, FDA dijangka akan melaksanakan lebih banyak tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat-syarikat AS dan rakan pengeksport mereka. Pelanggaran undang-undang keselamatan makanan dan perlindungan pengguna AS tentunya akan memberikan kesan buruk kepada industri makanan laut Malaysia. Oleh itu, adalah amat penting bagi pengeksport makanan laut Malaysia untuk tidak melanggar mana-mana peraturan FDA, terutamanya yang berkaitan dengan peraturan berat bersih dan peraturan HACCP sebagaimana yang ditekankan di atas. Sebarang pelanggaran terhadap peraturan ini akan benar-benar menggugat eksport makanan laut Malaysia ke AS di masa akan datang.

Laporan Oleh: Pejabat Kaunselor Pertanian Washington DC, Amerika Syarikat

  • Jabatan Pertanian icon
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar icon
  • Jabatan Perikanan Malaysia icon
  • Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) icon
  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) icon
  • Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) icon
  • Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) icon
  • Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) icon
  • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) icon
  • Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia icon
  • Tekun Nasional icon
  • Agrobank icon
  • Taman Botani Negara Shah Alam icon
  • MSC Malaysia icon
  • myGovernment icon