Model Baru Ekonomi (MBE)menyasarkan untuk mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Keupayaan dan kemampuan untuk memastikan jaminan bekalan makanan dalam konteks MBE adalah satu cabaran besar kepada negara. Cabaran pada masa hadapan adalah untuk memastikan pengeluar mendapat pendapatan yang tinggi dan pada masa yang sama mengekalkan harga pada paras yang berpatutan kepada pengguna. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat faktor penggerak utama bagi menentukan Ini termasuklah penggunaan teknologi dan inovasi, perluasan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan modal insan berkualiti dan pening katan keberkesanan institusi.
Pada masa ini, katanya, lebih 50 peratus daripada pekerja sektor pengeluaran maka nan merupakan pekerja asing. “Dengan memperkenalkan penggunaan mekanisasi dan automasi, bukan sahaja dapat mengurangkan keperluan penggunaan buruh, tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Jaminan Bekalan Makanan 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 Mei baru-baru ini. Beliau menyifatkan, dalam era inovasi dan K-ekonomi, pertanian semakin berintensif maklumat dan ilmu. Justeru, adalah penting untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi ICT di sepanjang rantaian nilai pengeluaran makanan. Sebagai contoh, sistem pertanian tepat (precision farming) di peringkat ladang berkembang dengan pesat bagi mengurangkan penggunaan input pertanian seperti baja, bahan kimia dan air serta menggalakkan pengeluaran pertanian yang mapan.
Dari segi keselamatan makanan pula, ICT sedang digunakan dalam sistem jejakan makanan (food traceability system). Aplikasi ICT juga pesat digunakan dalam pembangunan bioteknologi makanan seperti bidang bioinformatik, kejuruteraan proses dan pembangunan produk.“Projek ICT-Based Agriculture Flagship yang dibangunkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kelak dapat membantu meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan serta menjamin bekalan makanan. “Saya berharap supaya Agriculture Flagship dapat mempermudahkan perancangan dan pelaksanaan transformasi pertanian,” ujar beliau. Pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani perlu bersifat holistik dengan mengambil kira kualiti sumber manusia.
Dalam konteks ini, kata beliau, penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu dititik beratkan di kalangan petani, penternak, nelayan dan usahawan. Ini amat penting supaya mereka dapat menerima pakai penemuan-penemuan penyelidikan, melaksanakan langkah sanitari dan fitosanitari, melaksanakan amalan pertanian yang baik dan mengurus sumber semula jadi secara mampan. Di samping itu, institusi yang terlibat dalam pertanian seperti Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan hendaklah menyelaras dan menggembleng pengusaha-pengusaha kecil ini supaya menjadi lebih progresif dan berdaya saing memandangkan mereka memainkan peranan pen ting dalam pengeluaran makanan negara.
Selain meningkatkan pengeluaran, jaminan bekalan makanan juga berkait rapat dengan akses kepada makanan. Saluran pemasaran akan berubah pada masa hadapan iaitu dianggarkan 60 peratus daripada bekalan makanan akan dipasarkan melalui pasar raya besar (hypermarket) dan pasar raya (supermarket), seperti yang berlaku di negara-negara maju. Justeru, sistem pengurusan ladang dan rantaian bekalan yang lebih tersusun dan teratur perlu dibangunkan melalui pendekatan seperti perladangan kontrak dan kerjasama strategik antara pengeluar dan pemasar. Pada masa sama, lebih banyak pasar tani perlu diwujudkan untuk mengurangkan margin pemasaran dan merapatkan rangkaian di antara pengeluar dan pengguna. Ini akan menentukan harga hasilan segar yang lebih berpatutan dan berdaya saing kepada pengeluar dan pengguna.
“Dengan strategi-strategi yang saya nyatakan tadi, ia dapat menjamin bekalan makanan negara mencukupi. Bagaimanapun, bagi memastikan makanan dikeluarkan secara selamat dan berkualiti, kita perlu mengamalkan sistem piawaian yang bertaraf antarabangsa. “Selain pematuhan piawaian seperti Codex Alimentarius, Global-Gap, ISO dan HACCP, kita juga boleh mengkaji dan membangunkan piawaian yang mantap berdasarkan konsep Halalan Toyyiban seperti mana yang diketengahkan dalam Islamic Quality Organization Management System dan Halal Accessories and Food Assurance System (HAFA),” katanya. Pengajaran daripada krisis bekalan makanan yang berlaku pada 2008 perlu diambil kira dalam perancangan pengeluaran bekalan makanan negara.
Sumber-sumber negara seperti tanah, air dan dana kewangan perlu diperuntukkan sewajarnya bagi menjamin bekalan maka nan negara di tahap yang selamat dan selesa untuk memastikan sektor agro-makanan terus berkembang maju.