KOTA MARUDU, 7 Mei (Bernama) -- Penanaman padi secara besar-besaran wajar dibangunkan di Sabah bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin. Katanya penanaman secara komersil akan menjamin bekalan dan juga menjadi sandaran sekiranya berlaku krisis makanan dunia. Selain itu, ia membantu persediaan negeri ini untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan khususnya beras, katanya. "Kawasan tanah negeri ini begitu luas dan subur untuk pelbagai kegiatan pertanian. Kita harus mengambil kesempatan ini untuk membangunkan industri pertanian ke arah pertumbuhan yang lebih mapan melalui usaha memperkasa sektor pertanian negeri," katanya. Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata demikian ketika merasmikan penuaian padi projek rakan ladang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini Khamis. Menurutnya, kerajaan negeri amat serius untuk melaksanakan program pertanian komersil dalam bidang perladangan, ternakan dan perikanan. "Kita juga akan sentiasa menyokong dan memberi galakan terhadap perusahaan pertanian secara berkelompok serta estet," katanya. Yahya berkata projek rakan ladang Bernas di Kota Marudu merupakan langkah yang baik ke arah menyokong hasrat kerajaan negeri untuk mengkomersilkan tanaman padi di Sabah. Beliau juga menyambut baik sasaran Bernas untuk mengusahakan sejumlah 4,000 hektar kawasan sawah di Kota Marudu dan daerah berhampiran Kota Belud dengan melibatkan sekitar 3,000 orang pesawah rakan ladang menjelang akhir tahun 2010. Dengan sasaran menghasilkan sejumlah 40,000 metrik tan padi setahun, ia secara langsung akan dapat membantu mengurangkan import beras dari luar, katanya. Pada masa ini, Yahya berkata Sabah masih mengimport sekitar 70 peratus keperluan beras negeri dan berharap kebergantungan itu dapat dikurangkan pada masa depan. -- BERNAMA |