SEPANGGAR, 11 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memastikan negara ini tidak menjadi tempat lambakan buah-buahan tidak bermutu dari negara luar. Sehubungan itu peraturan 3P iaitu aspek pembungkusan, penggredan dan pelabelan terhadap produk pertanian dari luar akan dikuatkuasakan mulai hujung tahun ini, kata Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz. Buat masa ini kebanyakan produk-produk pertanian yang masuk ke negara ini tidak digred atau dilabel, katanya kepada pemberita di sini hari ini. "Melalui peraturan 3P, produk pertanian yang dieksport dan diimport dapat digred mengikut piawaian standard, manakala bayaran terhadap barang-barang import juga dapat ditentukan melalui gred, berbanding cara sekarang yang mana harga ditentukan melalui perbincangan antara dua pihak," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kursus bagi kakitangan baru Fama Sabah dan Sarawak di sini, Isnin oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah. Yahya pula berkata Fama dan kementeriannya akan meningkatkan lagi pengeluaran dua produk terkenal dari Sabah iaitu limau bali dan halia ke negara luar. "Kita telah mengeksport limau bali ke Indonesia, tetapi bekalannya tidak mencukupi kerana pengeluaran yang tidak dapat memenuhi permintaan. "Eksport halia ke negara Belanda juga terpaksa diberhentikan sebelum ini kerana tidak cukup pengeluaran. "Jadi sekarang usaha adalah untuk meningkatkan pengeluaran melalui perladangan kontrak," katanya. -- BERNAMA |