KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Sejumlah RM10.8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan "Program Peningkatan Produktiviti dan pendapatan Pekebun Kecil Lada" untuk membantu pekebun kecil di negeri ini tahun ini. Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang/Koperasi), Datuk Peter Nyarok Entri, berkata di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (2006-2010), Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, memperuntukkan RM74.6 juta bagi melaksanakan program itu di Sarawak. Beliau berkata antara komponen program itu ialah Rancangan Penyelenggaraan Lada, Rancangan Penanaman Semula Lada Pekebun Kecil, Pengeluaran Bahan Penanaman dan pusat pemprosesan setempat. "Dari 2006 hingga tahun lepas, seramai 22,189 peladang beroleh manfaat daripada rancangan-rancangan ini," kata beliau bagi menjawab soalan Mong Dagang (BN-Bukit Begunan) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat. Beliau berkata RM16.39 juta diperuntukkan tahun lepas. "Bagi memastikan bantuan itu sampai kepada kumpulan sasaran, semua dana bagi pembangunan industri lada disalurkan melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB)," katanya. Nyarok berkata bantuan dalam bentuk input pertanian kepada pekebun kecil akan disampaikan oleh pembekal atau kontraktor kepada peserta terpilih dengam kelulusan jawatankuasa khas, yang ditubuhkan oleh MPB pada peringkat cawangan dan bahagian. "Kontraktor berkenaan melantik 67 stokis di seluruh Sarawak dan peladang-peladang boleh mengambil input mereka daripada stokis-stokis ini. "Pegawai-pegawai MPB juga memantau pengambilan di setiap stokis. Lawatan di lapangan juga dijalankan dan jika perlu MPB akan mengaturkan penghantaran ke kawasan-kawasan yang terpencil," tegasnya. -- BERNAMA |