MELAKA, 16 Mei (Bernama) -- Minuman dan produk berasaskan herba keluaran Orang Kampung Corporation (M) Sdn Bhd, akan memasuki pasaran Sri Lanka dan Kemboja sebelum akhir tahun ini, kata Pengarah Urusannya, Habibul Ajmi Manggar. Beliau berkata syarikat itu yang terkenal dengan produk minuman Long Jack Orang Kampung dan Kacip Fatimah Orang Kampung, melalui kajian pasaran yang dilakukan mendapati produk syarikat itu mempunyai pasaran baik di kedua-dua negara itu. "Di peringkat permulaan, produk yang akan dipasarkan di Sri Lanka dan Kemboja ialah Kopi Kacip Fatimah Orang Kampung dan Kopi Long Jack Orang Kampung," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Peraduan Bonanza OK 2009 di Menara Taming Sari, di sini, Sabtu. Syarikat itu yang ditubuhkan pada 1975, kini memasarkan 60 jenis produk minuman dan pelbagai produk herba yang dijamin halal, termasuk di farmasi dan pasa raya besar. Habibul Ajmi berkata setakat ini produk syarikat itu telah memasuki pasaran Indonesia, Singapura, Brunei, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. "Pasaran terbesar masih dalam negara iaitu sebanyak 70 peratus manakala baki 30 peratus lagi pasaran luar negara," katanya. Beliau berkata syarikatnya mensasarkan peningkatan jualan antara 15 dan 20 peratus tahun ini daripada RM25 juta pada tahun lepas. "Bagi meningkatkan nilai jualan, kita menggiatkan lagi aktiviti promosi dan pengiklanan dengan menyediakan peruntukan sebanyak 20 peratus daripada nilai jualan setahun," katanya. Di samping itu, pihaknya memberi nilai tambah pada kualiti produk sedia ada supaya ia memberi lebih kepuasan kepada pengguna. Beliau berkata mulai bulan lepas, syarikat itu memperkenalkan produk baru iaitu Set Bersalin Orang Kampung untuk keperluan ibu. Katanya Set Bersalin Orang Kampung itu adalah rawatan berpandukan perbidanan lama yang diolah agar masyarakat masa kini dapat menggunakannya tanpa ragu-ragu. "Ia berasaskan dari sumber alam dan produk yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dan mendapat pengiktirafan sijil HALAL dan GMP (Amalan Pengilangan Baik)," katanya. Beliau berkata syarikat itu juga akan mengeluarkan produk farmasutikal melalui kilang baru bernilai RM8 juta yang sedang dibina di Kawasan Perindusrian Merlimau dekat sini, yang dijangka siap awal tahun depan. Kini, syarikat itu mempunyai dua kilang yang beroperasi 24 jam di kawasan perindustrian yang sama. Habibul Ajmi berkata bagi menjamin bekalan herba yang mencukupi pada masa depan, syarikat itu telah membuka ladang herba seluas empat hektar di Bukit Lintang dan Umbai dekat sini. -- BERNAMA |