Box Leveller
DALAM usaha membangunkan tanaman padi berskala besar dan berdaya maju, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang Bahagian Jentera (PPN Jentera) telah mencipta satu inovasi peralatan perataan permukaan tanah petak sawah yang di kenali sebagai box leveller.
Pada kebiasaannya merata tanah di lakukan pada musim kering tetapi dengan penggunaan box leveller ia dapat dilakukan pada tanah yang basah setiap musim.
Proses permulaan yang dimulakan dengan kerja-kerja membajak terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan penggunaan box leveller.
Hasil daripada cetusan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) inovasi terbabit telah memenangi Anugerah Khas Inovasi 2009 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
PPN Jentera diketuai oleh Azhari Md Isa sebagai Pengurus Besar serta dibantu oleh Mohd Yunus Yusof dan ciptaan beberapa juruteknik serta pegawai Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang Bahagian Jentera
Mereka membentuk satu pasukan yang kreatif dan inovatif telah berjaya menerapkan nilai-nilai budaya kerja yang cemerlang di dalam menghasilkan peralatan ini.
Teknologi merata tanah itu adalah hasil kerja Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang yang memakan masa selama dua tahun di pelbagai peringkat di dalam memenuhi kehendak pesawah dari masa ke semasa.
Semua ini harus diambil kira dari segi tanah yang bersesuaian. Antara faedah - faedah yang di peroleh oleh peladang dari penggunaan box leveller ini ialah:
Pengurangan kos operasi.
Pesawah dapat menjimatkan kos upah merata tanah sebanyak 30 peratus. Manakala kos penyelenggaraan jentera juga jauh lebih rendah iaitu 20 peratus daripada pendapatan yang diperoleh oleh pesawah.
Penjimatan masa
Dapat menjimatkan masa perataan iaitu lima kali lebih cepat. Permukaan yang rata membolehkan pengurusan air petak dapat diuruskan dengan sempurna dan demikian penggunaan input seperti racun rumpai dan perosak dan pembajaan lebih efisien dan berkesan untuk pertumbuhan padi dan seterusnya akan merangsang peningkatan hasil.
Peningkatan hasil kerja
Kajian yang telah dibuat di Kg Jelai, Kedah dengan tanah sawah seluas 43 hektar
(ha) dan bilangan peladang seramai 38 orang telah membuktikan bahawa dengan penggunaan inovasi terbabit,, hasil telah meningkat kepada 7.2 tan/ha bagi musim 1/2008 dan meningkat lagi kepada 8.3 tan/ha pada musim 2/2008.
Selain itu, hasil kerja bertambah baik kerana permukaan air dapat menentukan kerataan permukaan tanah sawah dan juga bekalan air yang sama rata dapat menggalakkan benih-benih untuk tumbuh dengan seragam.
Kesesuaian tanah
Penggunaan box leveller ini amat sesuai digunakan untuk tanaman padi secara meluas dan berskala besar. Ini terbukti dengan penggunaan box leveller di mana 4,000 ha daripada 12,000 ha tanah sawah padi di Pulau Pinang menggunakan teknologi box leveller tersebut.
Antara kebaikan dan kelebihan yang boleh di dapati daripada penggunaan “box leveller”.
- Perataan yang tepat
- Bekalan air sama rata
- Sistem kawalan air mengikut jadual
- Pertumbuhan benih yang seragam
- Membantu kaedah penanaman menggunakan jentanam
- Kos efektif dapat menjimatkan kos upah sebanyak 30 peratus berbanding kos menggunakan traktor dua roda
- Menjimatkan masa - lima kali lebih cepat berbanding ‘power tiller’.
- Perataan - mencapai tahap kerataan melebihi 90 peratus
- Dapat mengurangkan masalah rumpai
Pada tahun 2008 PPN Pulau Pinang telah dapat meratakan tanah seluas 2,000 hektar telah menyumbang pendapatan sebanyak RM 420,000.
Di samping itu sebanyak 140 unit telah di jual kepada agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Felcra, Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan orang perseorangan dengan harga RM5,900 seunit dan ini tidak termasuk kos jentera dan kos penghantaran. Ciptaan box leveller telah mendapat paten dari SIRIM (Rujukan : ISD 426/13/1 (PF 2009 - 040029) pada Mei 2009 untuk tujuan di komersial.
Ciptaan tersebut juga telah meraih pingat emas di Pameran Perdagangan dan Reka Cipta Nuremberg 2009 , Jerman bagi Kategori Pertanian yang diadakan pada 5 hingga 8 November.