KEMENANGAN MARDI DI ITEX 2010
Susulan kejayaan MARDI di ITEX 2010 yang berlangsung di KLCC pada 14 – 16 Mei 2010, satu sidang akhbar telah diadakan pada 24 Mei 2010 di ruang Galeri Korporat MARDI. Turut diadakan ialah pameran yang mengenengahkan poster, model, produk dan alat sebenar yang dipamerkan di ITEX 2010. YB Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Hj. Omar, turut serta meraikan kejayaan MARDI ini dan dengan besar hati meneraju sidang akhbar bagi memaklumkan pihak media seterusnya pihak awam mengenai kejayaan yang dicapai.
YB Menteri amat berbangga dengan teknologi yang dijana MARDI, khususnya yang dipertandingkan di ITEX 2010 di mana kesemua 13 teknologi yang dipertandingkan memenangi pingat, 8 emas dan 5 perak. Daripada jumlah tersebut juga, 10 teknologi telah mendapat anugerah Malaysia Innovative Product. Y.B Datuk Seri Noh berkata kejayaan ini merupakan pengiktirafan keupayaan MARDI, jelas yang teknologi yang dihasilkan berpotensi membawa perusahaan pertanian kepada satu dimensi baru.
Persepsi pertanian yang bergelumang dengan lumpur serta berpakaian selekeh boleh diubah dengan penggunaan meluas teknologi yang dihasilkan. Contohnya, penanam padi tidak lagi perlu bergelumang dalam lumpur apabila alat pananam benih padi dalam baris yang ditarik trektor diguna secara meluas. Pengusaha yang menghasilkan biji benih cili tidak lagi memerlukan tenaga buruh yang banyak dan perit dengan kepijaran cili bila mengguna alat pengasing biji cili. Penghasilan alat mengasing isi rambutan dari kulit dan bijinya boleh membuka luang untuk industri pemprosesan rambutan. Sistem pengredan buah tropika pula adalah lebih murah dan berkemampuan dari alat sama yang diimport.
MARDI turut disaran oleh YB Menteri supaya gigih dalam mempromosi dan memasarkan teknologi yang berjaya di ITEX 2010. Untuk tujuan ini, hubungan dengan pelanggan disyor dijalin di peringkat awal penjanaan teknologi, lebih-lebih lagi dalam memastikan teknologi yang dihasilkan memenuhi kehendak sebenar pelanggan. Pendekatan ini juga membolehkan manfaat teknologi boleh segera dikecapi. Pelanggan juga boleh juga diajak berkongsi kos pembangunan teknologi tersebut. Kerjasama pihak swasta dan awam inilah yang dihasratkan model ekonomi baru yang dicanang YAB Perdana Menteri.
Turut hadir bersama di sidang akhbar ini adalah Y.Bhg Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI; dan Y.Brs Tuan Haji Ariffin b. Tawang, Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersialan Teknologi), wakil-wakil dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan para pemenang anugerah.