Kepentingan Agro-Biodiversiti Untuk Masa Depan
TAWAU, 11 MEI – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Bioversity International, Jabatan Perikanan, Lembaga Koko Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Jabatan Pertanian Negeri Sabah berganding bahu menganjurkan Persidangan Kebangsaan Kedua Pemuliharaan Agro-Biodiversiti dan Penggunaan Mapan 2010 di Hotel Promenade, Tawau, Sabah. Persidangan ini dirasmikan oleh Y.B Datuk Seri Panglima Haji Yahaya Hussien, Timbalan Ketua Menteri yang juga merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
Persidangan ini diadakan demi memastikan pemuliharaan dan penggunaan lestari agro-biodiversiti mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak terutamanya daripada sektor pertanian. Kestabilan ekosistem dalam agro-biodiversiti dan ekosistem pertanian merupakan komponen-komponen penting di dalam peningkatan pengeluaran tanaman dan ternakan. Kita tahu bahawa pengeluaran makanan dunia bergantung kepada keseimbangan alam sekitar. Penggunaan input yang tinggi bagi pertanian berskala industri mampu meningkatkan pengeluaran makanan, akan tetapi ia juga menyumbang kepada pemanasan global, kemusnahan kepelbagaian biologi, kehilangan kesuburan tanah dan penggunaan air yang berlebihan.
Sehubungan itu, pelan tindakan untuk memastikan keseimbangan agro-biodiversiti dan aktiviti pertanian perlu digariskan di persidangan ini. Kestabilan agro-biodiversiti perlu dikekalkan dan dipulihara bagi membentuk dunia masa depan yang masih kaya dengan kepelbagaian agro-biodiversiti. Selain persidangan ini, Y.B Datuk Seri Panglima Haji Yahaya Hussien turut melancarkan buku ‘Conservation and Utilization of Plant Genetic Resources for Food and Agriculture in Malaysia’. Buku ini mengandungi maklumat yang di sumbang oleh sekurang-kurangnya 20 badan kerajaan dan bukan kerajaan dari seluruh negara yang telah bersetuju untuk berkongsi sama maklumat dari organisasi masing-masing demi untuk memantapkan lagi usaha kerajaan merancang dan melaksanakan aktiviti berkaitan pemuliharaan dan penggunaan secara mapan sumber genetik tanaman untuk makanan dan pertanian.
Turut hadir bersama di majlis ini adalah Y.Bhg Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI, dan Pengarah-pengarah Jabatan/Agensi Negeri Sabah yang turut memberi sokongan padu dalam usaha MARDI menjayakan agenda utama dalam memastikan kestabilan keseimbangan agro-biodiversiti dengan ekosistem pertanian negara.