Walaupun secara keseluruhannya, pengeluaran makanan dunia telah meningkat, Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melaporkan pada masa ini hampir 1 bilion orang penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan makanan dan nutrisi. Keadaan ini dijangka akan bertambah meruncing pada tahun 2050 di mana penduduk dunia dijangka akan bertambah kepada 9.2 bilion berbanding dengan 6.8 bilion pada masa ini. Untuk menampung peningkatan penduduk dunia pada tahun 2050, pengeluaran makanan perlu ditingkatkan sebanyak 100%. Oleh itu, cabaran untuk masa akan datang adalah untuk memastikan pengeluaran makanan dunia mencukupi bagi mengelakkan kebuluran. Pengajaran daripada krisis bekalan makanan yang telah berlaku pada tahun 2008 perlu diambil kira dalam perancangan pengeluaran bekalan makanan negara. Sebagai contoh, harga beras di pasaran antarabangsa pada masa itu telah meningkat dua (2) kali ganda pada tahun 2008 berbanding tahun 2007. Sumber-sumber negara seperti tanah, air dan dana kewangan perlu diperuntukkan sewajarnya bagi menjamin bekalan makanan negara di tahap yang selamat dan selesa, dan dalam masa yang sama, sektor agro-makanan akan terus berkembang maju dan berdaya saing, sama dengan sektor-sektor lain.| Sehubungan itu, Kementerian telah membuat perancangan teliti bagi tempoh sepuluh (10) tahun akan datang (2011-2020) dan dalam peringkat akhir mengubal Dasar Agro-Makanan yang baru. Input-input awal telah diperolehi daripada pihak awam dan swasta. Isu jaminan bekalan makanan merupakan cabaran utama dalam merangka halatuju strategik Dasar ini. Penganjuran Konvensyen yang julung kali diadakan ini amat bertepatan yang membolehkan Kementerian mendapat input dan pandangan daripada semua pihak berkepentingan (stakeholder) dalam sektor agro-makanan dan industri asas tani. Objektif utama Konvensyen ini adalah - Memberi penerangan mengenai jaminan bekalan makanan dari perspektif global serta kesan perubahan iklim terhadap jaminan bekalan makanan;
- Membincangkan kedudukan jaminan bekalan makanan di Malaysia; dan
- Mencadangkan halatuju strategik bagi menjamin bekalan makanan negara bagi tempoh 2010-2020.
Konvensyen Jaminan Bekalan Makanan akan diadakan di PWTC, Kuala Lumpur selama sehari dan akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri. Tiga kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar-pakar yang dipilih, dan sesi bengkel pada sebelah petang pula disusun untuk memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan mengemukakan pandangan dan input membina berkaitan jaminan bekalan makanan. Penyertaan mereka dalam bengkel-bengkel ini, akan membantu Kementerian menyediakan halatuju strategik berkaitan jaminan bekalan makanan yang akan menjadi salah satu teras utama daripada Dasar Agro Makanan. Tajuk kertas-kertas ini adalah: - Jaminan Bekalan Makanan Dari Perspektif Global dan Kesan Kepada Pengeluaran Makanan Negara;
- Kesan Perubahan Iklim Terhadap Jaminan Bekalan Makanan; dan
- Perpektif Dasar Agro-Makanan.
Selain pembentangan Kertas, lima (5) kumpulan bengkel turut diadakan untuk membincang dan mendapatkan resolusi mengenai halatuju sektoral agro-makanan iaitu: - Padi Beras;
- Tanaman – Sayur-sayuran dan buah-buahan;
- Ternakan;
- Perikanan; dan
- Industri Asas Tani
Bengkel ini akan disertai oleh semua pihak berkepentingan iaitu agensi pusat, Kerajaan Negeri, ahli-ahli akademik, pihak industri, golongan sasar (petani, penternak dan nelayan) dan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam sektor-makanan. Konvensyen ini seterusnya akan menghasilkan input yang komprehensif mengenai jaminan bekalan makanan yang dapat dimuatkan dalam Kementerian merangka halatuju strategik Dasar Agro-Makanan. |