Petik dan makan! Itu pengalaman menarik yang bakal anda tempuhi di laman dapur, Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands. Bukan sekadar dapat menjamu mata dengan keindahan semula jadi dan haruman herba menyegarkan, anda boleh merasai betapa manisnya daun stevia dan harumnya larutan herba rosemary. Gabungan pelbagai jenis sayuran dan herba dengan gantungan sayur petola atau buah-buahan di pegola, ia mencipta suasana yang begitu menyamankan. Konsep laman dapur (edible garden) itu yang mula diperkenalkan pada 12 Jun lalu menampilkan konsep laman dwifungsi yang mana keindahan dan hasilnya boleh dinikmati bersama.
Laman ini direka bentuk dengan gabungan, gubahan dan adunan pelbagai variasi tanaman makanan seperti sayuran berbuah seperti tomato dan cili, sayuran umbisi seperti karot dan kentang serta sayuran memanjat seperti petola dan labu dengan tanaman ulam dan herba. Tanaman dalam air turut ditanam seperti selada air, kesum dan pegaga. Selain itu, kombinasi tanaman jangka pendek seperti sawi dan tanaman jangka panjang seperti asparagus dengan nisbah yang sesuai dapat memberi impak landskap yang berpanjangan. Di samping menghirup udara segar dan bau-bauan herba yang harum, laman ini boleh menjadi medan percambahan ilmu kepada pelajar dan kanak-kanak. Banyak ilmu pengetahuan boleh di peroleh terutama khasiat yang terkandung dalam setiap tanaman herba yang berguna untuk kesihatan tubuh badan.