Malaysia Hasilkan Vaksin Ternakan Tempatan
Malaysia mampu berbangga kerana mempunyai pusat penyelidikan terunggul dalam menghasilkan vaksin haiwan ternakan tempatan seperti Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di bawah kendalian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Dalam masa yang sama, kita juga mempunyai kepakaran yang sama dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sehingga kini Malaysian Vaccines & Pharmaceuticals (MVP) telah memainkan peranan penting dalam usaha pengkomersilan vaksin hasil keluaran VRI dan UPM.
Sehingga kini, Malaysia telah mengimport vaksin dan keperluan farmaseutikal bernilai RM650 juta setahun sedangkan para penyelidik tempatan dari VRI dan UPM mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk menghasilkan vaksin yang lebih berkesan berbanding yan diimport.
MVP adalah satu-satunya syarikat pengeluar vaksin haiwan ternakan di Malaysia sejak 16 tahun penubuhannya lanjutan dari penswastaan hasil penyelidikan VRI. Sehingga kini, MVP berkemampuan mengeluarkan 700 juta dos vaksin setahun yang merangkumi 16 jenis vaksin untuk kegunaan ternakan ayam, itik dan khinzir.
“Kementerian juga bercadang untuk menaik taraf VRI yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur yang sedia ada dan membina bangunan baru dalam usaha menambah penghasilan vaksin yang berkesan dan berkualiti. Secara tidak langsung, ini juga boleh membantu MVP dari segi pengeluaran dan pemasaran vaksin di dalam dan di luar negara,” ketika YB Dato’ Johari Baharom berucap di Majlis Konvensyen Pertama MVP dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Nano One Sdn. Bhd., Charoen Pokphand, Thailand dengan Malaysia Vaccines Pharmaceuticals Sdn. Bhd di Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam.
Selain itu, kementerian juga menyokong penuh usaha mengadakan kerjasama di antara VRI, UPM dan MVP dalam memajukan industri penghasilan vaksin haiwan ternakan keluaran tempatan serta dapat mengurangkan pengimportan vaksin dari luar negara seterusnya menjimatkan perbelanjaan negara.
Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Nano One Sdn. Bhd., Charoen Pokphand, Thailand dengan Malaysia Vaccines Pharmaceuticals Sdn. Bhd (MVP), akan memberi kerjasama lebih erat lagi dari segi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran teknikal dalam penghasilan vaksin haiwan ternakan untuk memajukan pemasaran vaksin keluaran tempatan di dalam dan di luar negara.