Di Malaysia, konsep jualan daging secara meat shop masih belum dikenali dan difahami kelebihannya secara umum.Bagaimanapun, di Amerika Syarikat dan Eropah meat shop merupakan kaedah penjualan daging yang telah diterima pakai secara baik oleh masyarakat di sana. Meat shop adalah pusat penjualan daging moden yang bertujuan mengeluarkan daging bersih, berkualiti dan selamat dimakan pada harga berpatutan. Sebuah meat shop yang baik perlu mempunyai reka bentuk fasiliti, kelengkapan dan peralatan yang dapat menjamin kebersihan daging yang diproses dan disimpan seterusnya untuk dipamerkan dan dijual kepada pembeli. Pekerja meat shop dan pihak pembekal juga perlu memahami dan mematuhi peraturan keselamatan. Meat shop berbeza dengan kaedah penjualan daging secara tradisional terutama dari aspek kebolehpercayaan pembekal daging mentah, penjagaan rantaian sejuk beku (cold-chain) daging, pengawalan pencemaran silang semasa aktiviti pemprosesan, penyimpanan dan penjualan, aktiviti pembersihan premis serta penyahbasmian peralatan mengikut piawai keselamatan makanan dan lain-lain. Aktiviti jualan di meat shop bukan sekadar penjualan daging semata-mata. Meat shop turut menawarkan penjualan keratan daging, produk hiliran daging seperti sosej, meatball dan perapan daging. Meat Shop berperanan sebagai pusat setempat yang menjual daging dan produk hilirannya serta bahan yang digunakan untuk segala jenis masakan daging seperti kurma hingga ke barbeku. |