MOA Beri 50 Ekor Lembu Percuma Sebagai Ganti Rugi
Tiga penternak lembu yang kerugian RM400,000 berikutan ternakan mereka mati dipercayai akibat diracun di Ladang Connemara, Kampung Rinching Hilir, Semenyih mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Kementerian bersetuju memberi sumbangan ternakan 50 ekor lembu setiap penternak untuk meringankan beban di mana setiap penternak akan mendapat 20 ekor lembu sebagai permulaan dan baki 30 ekor lembu lagi akan diberi melalui system Trust.
Dalam kejadian tersebut sejumlah 218 ekor lembu mati bergelimpangan ketika dilepaskan bebas di sebuah ladang kelapa sawit. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor telah membuat bedah siasat ke atas bangkai lembu dan mendapati punca kejadian disebabkan pengambilan makanan atau air yang diracun.
YB Dato’ Seri Noh Omar ketika melawat ladang tersebut berkata kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bersimpati dengan kejadian terbabit kerana penternak telah mengusahakan ternakan sejak 20 tahun yang lalu dengan modal sendiri.
Bagi melindungi para petani dan penternak yang mengalami kerugian akibat hasil pertanian dan ternakan musnah akibat bencana, MOA sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan insurans pertanian.
Memandangkan skim ini akan melibatkan kos yang sangat tinggi, MOA memerlukan masa untuk mengkaji implementasi skim ini.
Sekiranya cadangan ini menjadi kenyataan maka sekurang-kurangnya petani dan penternak bakal menerima ganti rugi daripada syarikat insurans. Kerajaan tidak mempunyai peruntukan khas bagi memberi ganti rugi kepada petani jika berlaku sesuatu perkara tetapi hanya ada bantuan daripada majlis Keselamatan Negara yang hanya memfokuskan kepada bencana alam sahaja.
Selain itu, Dato’ Seri Noh juga menyatakan bahawa kementeriannya bercadang membina sebuah kilang membuat makanan ternakan di Kluang, Johor bagi menangani masalah harga makanan ternakan yang semakin tinggi yang dialami oleh penternak.
Masalah yang dihadapi oleh penternak memang mendapat perhatian oleh kementerian terutamanya yang mengamalkan system fidlot kerana makanan ternakan terpaksa diimport dari luar Negara.
Sebagai alternatif bagi menangani masalah makanan ternakan, penternak boleh menggunakan sumber seperti kelapa sawit, rumput napier dan jagung khas untuk makanan haiwan ternakan seperti lembu dan lain-lain.
Dengan cadangan membina kilang di Kluang, Johor bagi membuat makanan ternakan oleh kementerian, syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) juga dikatakan akan membina kilang yang sama di negara ini. Jika ini terlaksana maka kos pengeluaran akan menjadi lebih rendah sekali gus memberi keuntungan kepada penternak di Negara ini.