|
|
| |
 Pengenalan Pengenalan Projek Berimpak Besar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menubuhkan lima Projek Berimpak Besar (HIP) bagi menjamin pengekalan bekalan makanan negara. Tujuan utama Projek HIP ini adalah untuk memastikan projek-projek pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia yang terpilih mempunyai potensi dalam peningkatan ekonomi negara. Lima projek yang dimaksudkan ialah: 1.Pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) 2.Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) 3.National Feedlot Centre (NFC) 4.Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani (UIAT) 5.Ladang Kontrak Misi Sekumpulan Dedicated Team telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan untuk meneliti perancangan dan penelitian serta pemantauan secara terus terhadap projek-projek HIP yang dibangunkan. | PROJEK BERIMPAK BESAR | |
Pendekatan Program HIP ZIA 1.Komitmen Kerajaan Negeri - Memperuntukkan kawasan
- Menyegerakan proses kelulusan sewa pajak
- Menimbangkan tempoh sewa pajak (tidak kurang 30 tahun)
2. Komitmen Kerajaan Persekutuan - Kenalpasti kesesuaian tapak
- Ukur sempadan kawasan
- Perancangan makro
- Pembangunan Infrastruktur asas
- Khidmat sokongan teknikal
3. Komitmen syarikat swasta/pengusaha - Perancangan mikro
- Pembinaan infrastruktur ternakan
- Penyerapan teknologi baru dan kepakaran
- Amalan Akuakultur Baik (SPLAM/SAAB).
- Membiayai operasi projek & pemasaran
| HIP-ZIA SG. NIPAH, SELANGOR | HIP-ZIA SEBATU, MELAKA |  |  | | HIP-ZIA TASIK TEMENGOR, PERAK | HIP-ZIA LANGKAWI, KEDAH |  |  | | HIP-ZIA BENDANG MAN, KEDAH | HIP-ZIA SG. COMO, TERENGGANU |  |  | | | |
Matlamat TKPM ditubuhkan adalah untuk mewujudkan kawasan pengeluaran makanan kekal dan melahirkan usahawan-usahawan di dalam sektor pertanian disamping untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam bidang pengeluaran makanan. Konsep pelaksanaan TKPM ini memerlukan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi mewartakan tanah-tanah yang telah dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan. Manakala Kerajaan Persekutuan pula berperanaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur asas bagi projek yang akan dibangunkan. Setelah melalui proses pewartaan, tanah akan disewakan kepada usahawan atau syarikat swasta bagi mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran berskala komersil. Antara jenis tanaman yang diusahakan adalah sengkuang, cili, jagung, pitaya, tembikai, melon, tomato, nangka, betik dan banyak lagi. Pencapaian setakat ini menunjukkan bahawa projek TKPM telah memperolehi hasil yang menggalakkan dan amat berpotensi untuk diperluaskan. Pengamalan teknologi perladangan yang digunakan dalam projek ini juga adalah yang terkini dan moden seiring dengan pelaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP). Projek ini juga mampu meningkatkan penglibatan usahawan baru dalam bidang pengeluaran tanaman. Selain itu, penglibatan daripada pihak swasta amatlah digalakkan untuk menjadi “anchor company” dalam program TKPM ini. Pusat penggumpulan/penggredan hasil juga dibangunkan bagi tujuan memudahkan hasil tanaman dikumpul dan dipasarkan dengan harga yang berpatutan dan mempunyai nilai kualiti yang lebih terjamin. RMK- 9 mensasarkan 60 projek TKPM dibangunkan dengan keluasan seluas 5,594 ha. Nilai pengeluaran dan peserta yang disasarkan dalam program TKPM ini adalah 184,300 m.t dengan nilai RM 197 juta dan penglibatan 1000 peserta. Sehingga Julai 2009, seluas 4,339 ha kawasan telah dibangunkan dengan seramai 800 peserta terlibat. Manakala sebanyak 110,000 m.t hasil pengeluaran yang bernilai RM 113 juta telah berjaya dipasarkan. Pada 13 Januari 2009, Majlis Pelancaran Projek TKPM dan Projek Pertanian Moden Lanchang, Temerloh, Pahang telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Program TKPM/PPM Lanchang ini turut memfokuskan kepada pembangunan projek TKPM Swasta dengan keluasan 2,800 ha. Sehingga Jun 2009, 32 syarikat telah menyertai projek ini dan seluas 2,266 ha kawasan sedang dibangunkan. Seluas 1,062 ha daripada kawasan tersebut sudah bertanam manakala 133.7 ha daripada kawasan bertanam itu telah berhasil. Hasil pengeluaran dicatatkan 1,085 m.t dengan nilai RM 1.6 juta. 
|  | | |
Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah merupakan program pengeluaran lembu secara besar-besaran dengan mewujudkan satu kawasan penternakan lembu secara meluas. Program ini diwujudkan di bawah pelaksanaan dan seliaan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Tujuan utama NFC dibangunkan adalah untuk meningkatkan bekalan daging lembu negara. Ia dibangunkan di bawah Projek New Agriculture Integrated Development bagi memastikan peningkatan SSL daging lembu daripada 23% kepada 37% menjelang tahun 2010. Sebanyak 310 ladang satelit (180 unit dibangunkan oleh JPV dan 130 unit dibangunkan oleh NF Corp.) akan dibangunkan di seluruh negara yang mana komponen utamanya adalah di Gemas, Negeri Sembilan. Ia akan diterajui oleh syarikat integrator utama yang menaungi usahawan-usahawan fidlot secara kontrak di ladang yang sama atau sekitarnya (ladang satelit iaitu milik persendirian). Integrator ini membekalkan input utama seperti makanan ternakan dan lembu feeder, kemudian membeli balik ternakan untuk pemasaran dan pemprosesan. Melalui konsep ini, sumber makanan import (feeder import) akan dapat dikurangkan dan digantikan dengan sumber dari dalam negara secara berperingkat. Dalam RMK-9, seluas 2,000 ha kawasan telah ditawarkan untuk pembangunan Pusat Fidlot Nasional di Gemas. NFC mensasarkan pengeluaran sebanyak 2.8 ribu m.t kapasiti ternakan menjelang tahun 2010. Bagi ladang kontrak/satelit seramai 200 pengusaha disasarkan untuk kawasan TKPM dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 16.8 m.t menjelang tahun 2010. Bagi kontrak individu pula seramai 110 pengusaha dengan kapasiti pengeluaran 10 ribu m.t menjelang tahun 2010. Pencapaian sehingga Julai 2009 menunjukkan prestasi keseluruhan program ini telah siap dibangunkan seluas 809 ha di NFC Gemas di mana pihak Kerajaan telah memberi bantuan infrastruktur asas seperti jalan ladang, bekalan air dan elektrik, kolam takungan, sistem saliran, tanaman foder dan pembangunan abatoir. Sebanyak 6,000 ekor lembu sedang diternak dengan hasil output 4,150 ekor setahun. Manakala pengeluaran karkas adalah sebanyak 789.5 m.t setahun dengan nilai RM 9.5 juta. Bagi pembangunan ladang satelit pula, pihak JPV telah membangunkan 71 unit ladang satelitnya di negeri Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan. Hasil output adalah 1,337 ekor setahun dengan hasil karkas sebanyak 170.64 m.t setahun yang bernilai RM 1.5 juta. Walau bagaimanapun pembangunan 130 unit lagi ladang satelit oleh NF Corp. dijangka bermula pada pertengahan tahun 2010 atas sebab-sebab tertentu.  INFRA TERNAK OLEH NF CORP | LEMBU FIDLOT DI HOLDING YARD, GEMAS | |
Sektor pertanian disasarkan berkembang sebanyak 5% bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9). Sektor ini diberi nafas baru untuk menjadi tunggak ketiga pertumbuhan ekonomi negara. Bagi merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan, salah satu inisiatif yang diambil oleh Kerajaan adalah dengan melancarkan Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani Nasional. Tujuan program ini adalah untuk membangunkan usahawan di bidang pemprosesan makanan yang menekankan pembangunan dan peningkatan kualiti produk ke pasaran global. Sehubungan dengan ini, aspek promosi, pemasaran, pembiayaan dan teknologi akan diberi tumpuan sebagai pemangkin ke arah mencapai objektif program ini. Penekanan juga diberikan kepada aktiviti pemprosesan atau nilai ditambah dan membangunkan usahawan industri asas tani nasional yang bersepadu ke arah peningkatan pendapatan kepada masyarakat tani. Dalam usaha menjayakan program tersebut, Kemeneterian turut merancang beberapa program utama melalui lima strategi seperti peningkatan modal insan, peningkatan keupayaan pengeluar, peningkatan kualiti produk, pembangunan dan pengembangan produk, serta pembangunan penjenamaan, promosi dan pemasaran. Apa yang pasti, bagi kelima-lima strategi tersebut objektifnya dalah untuk: - Membangunkan dan mengembangkan aktiviti pemprosesan atau nilai tambah produk agro-makanan dengan menambah penglibatan usahawan dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian atau nilai tambah produk agro makanan.
- Memperkukuhkan kualiti produk bagi menembusi pasaran dan rangkaian global melalui penggunaan teknologi pemprosesan moden, pembungkusan yang berinovatif bagi memenuhi kehendak pengguna serta pasaran tempatan dan luar negara. Usaha ini diambil untuk memperkukuh pasaran tradisional dan menembusi pasaran baru berasaskan pematuhan kepada keperluan antarabangsa seperti persijilan halal, GHP, GMP, HACCP, MQAS dan VHM.
- Meningkatkan pendapatan usahawan, petani, penternak dan nelayan dengan penglibatan lebih serius individu dan perkumpulan usahawan petani, penternak dan nelayan dalam aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian. Penekanan diberikan menerusi aktiviti tambahan dan nilai tambah ‘value added’ yang tinggi di mana boleh menjana pendapatan tambahan kepada mereka.
Dalam RMK-9, Kementerian mensasarkan untuk membangunkan 10,000 usahawan industri asas tani. Usahawan naik taraf disasarkan mendapat pulangan/pendapatan bersih minimum RM 2,000 sebulan. Sekurang-kurangnya 20% jumlah usahawan akan ditingkatkan kualiti produk ke tahap yang menepati persijilan antrabangsa. Sehingga Julai 2009, seramai 12,149 usahawan berjaya dicapai daripada 10,000 usahawan yang disasarkan. Ini menunjukkan komitmen Kementerian dalam membangunkan usahawan naik taraf telah berjaya mencapai sasarannya.
| | |
Konsep ladang kontrak adalah memadankan pengeluaran hasil pertanian tanaman dengan permintaan dipasaran. Pelaksanaan program ini mengambil kira semua aktiviti yang berkaitan di sepanjang rantaian bekalan pengeluaran pertanian di mana khidmat-khidmat sokongan untuk menjayakan projek ini seperti kemudahan lepas tuai yang merangkumi pusat pengumpulan, pusat penggredan yang akan dibina dan disediakan. Program ini dibangunkan melalui pengeluar yang bersetuju untuk mengeluarkan hasil atau produk yang berkualiti dari segi kuantiti, jenis, variasi, pembungkusan, gred, masa yang dipersetujui dan pasaran dijamin pada harga yang dipersetujui bersama. Projek ini juga menjamin bekalan yang berkualiti sentiasa berterusan untuk pembekalan kepada pelanggan tetap dan pada masa yang sama menjamin ruang pasaran pada peserta Ladang Kontrak. Pelbagai jenis perkhidmatan dan bantuan yang telah disediakan kepada peserta Ladang Kontrak bagi menjamin program berterusan dan tidak terganggu. Antaranya adalah kemudahan kredit, perkhidmatan bantuan teknikal, bantuan jentera, kemudahan input pembangunan dan pemasaran. Dalam RMK-9, HIP-Ladang Kontrak mensasarkan penglibatan peserta seramai 25,689 orang dengan jumlah keluasan sebanyak 31,866 ha. Sehingga Julai 2009, Ladang Kontrak telah berjaya membangunkan seluas 20,208.5 ha kawasan dengan penglibatan peserta seramai 12,010 orang. Antara program HIP Ladang Kontrak yang telah berjaya dilancarkan sepanjang 2008 ialah: - Memperkenalkan Forward Agreement iaitu Perjanjian Jual Beli di antara FAMA dan petani pada 31 Disember,
- Membangunkan 26 Pilot Project di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Pendekatan yang digunakan adalah mendokumentasi rekod ladang daripada setiap petani
- Perjanjian MoU antara FAMA dengan FELDA yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak pada 17 Disember 2008.

| | Paparan : 22066
Tarikh Akhir Dikemaskini : 07 Mac 2011 | |
| |