Program Transformasi Luar Bandar (RTP) merupakan program bersepadu yang diperkenalkan oleh Kerajaan di bawah National Blue Ocean Strategy 4. Program RTP telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Mei 2011. Sebanyak 8 inisiatif sedang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dengan agensi yang berkaitan bagi membangunkan kawasan luar bandar.
Lapan (8) inisiatif tersebut dan kementerian peneraju bagi setiap inisiatif ini adalah seperti berikut:
- Latihan Kemahiran Kepada Penduduk Luar Bandar - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
- Penubuhan Kios Informasi 1Malaysia - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
- Pertanian Bernilai Tinggi – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
- Pemprosesan Produk Agro-Makanan - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
- Pengurusan Rantaian Bekalan Hasil Pertanian - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
- Kerjasama Universiti – Kementerian Pengajian Tinggi
- Perkhidmatan Keselamatan Makanan dan Farmaseutikal – Kementerian Kesihatan
- Kemudahan Pembiayaan Kewangan Kepada Penduduk Luar Bandar – Kementerian Kewangan
Di peringkat awal pelaksanaan RTP, Terminal Agribisnes Negara (TEMAN) di Gopeng Perak akan dijadikan projek perintis dan akan dikenali sebagai Rural Transformation Centre (RTC). KKLW dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) merupakan kementerian utama yang akan menerajui pelaksanaan program-program di bawah RTC ini di samping beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
Dengan pelaksanaan program-program di atas, adalah menjadi hasrat Kerajaan agar masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk mereka. Ini akan membolehkan produk tersebut dapat dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya dapat menembusi pasaran eksport. Secara tidak langsung, pendapatan penduduk luar bandar akan dapat ditingkatkan dan seterusnya menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhannya.
Inisiatif-Inisiatif RTP
Inisiatif 1: Latihan Kemahiran Kepada Penduduk Luar Bandar
Inisiatif 1 bertujuan menyediakan peluang latihan secara berterusan kepada masyarakat luar bandar di pusat-pusat transformasi luar bandar (RTC) dan kawasan sekitar bertujuan menambah pengetahuan, kemahiran dan keupayaan bagi meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup.
Antara jenis-jenis latihan yang ditawarkan adalah seperti:
- Latihan Keusahawanan
- Latihan Motivasi Keusahawanan
- Latihan Pembungkusan dan Penjenamaan
- Latihan Persembahan Produk
- Latihan Pengurusan Makanan Ternakan
- Latihan Teknik Fertigasi
- Latihan Kemahiran Baikpulih Penghawa Dingin
- Latihan Kemahiran Teknologi Kimpalan
Sehingga kini, sebanyak 15 program latihan telah dilaksanakan di RTC Gopeng dan kawasan sekitar antaranya seperti latihan keusahawanan, persembahan produk, pembungkusan, teknik fertigasi dan baik pulih penghawa dingin.
Inisiatif 2: Penubuhan Kios Informasi 1Malaysia
Kios Informasi 1Malaysia merupakan pusat maklumat setempat yang menggabungkan informasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian/agensi kerajaan. Terdapat 5 kios informasi yang ditempatkan di RTC dan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti:
- Kios KKLW - Maklumat Mengenai Infodesa dan Agensi-agensi di bawah KKLW
- Kios JobsMalaysia – Menawarkan perkhidmatan kepada pencari kerja dan majikan
- Kios Pusat Pembangunan Perniagaan Agri-Makanan –Maklumat mengenai pembangunan komuniti perniagaan Agri-makanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
- Kios Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan - Portal 1Malaysia Pengguna Bijak
- Kios MyEG
Sehingga kini, 5 kios informasi ini telah ditempatkan di bangunan pengurusan RTC Gopeng bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat-maklumat yang ditawarkan.
Inisiatif 3: Pertanian Bernilai Tinggi
Terdapat 3 projek utama pertanian bernilai tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan iaitu:
a. Projek Penghasilan Sayur-Sayuran Premium di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing
Projek dilaksanakan di kawasan berkeluasan 64.77 hektar dengan tanaman sayur-sayuran premium seperti tanaman tomato, salad, kacang buncis, kobis, cili dan jagung untuk pasaran tempatan. Projek ini membantu golongan petani, terutamanya belia yang bersedia untuk berbakti kepada tanah dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran.
b. Projek Penghasilan Produk Tenusu yang Selamat dan Berkualiti
Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) disediakan bagi membantu penternak lembu tenusu berskala kecil memasarkan susu mentah. PPIT menyediakan khidmat nasihat teknikal dan menjalankan ujian kandungan dan kualiti susu. PPIT akan membeli susu mentah dan memasarkan ke kilang-kilang pemprosesan/memproses sendiri bagi menghasilkan susu pasteuris, susu pasteuris berperisa, yoghurt, dadih dan aiskrim.
c. Projek Ternakan Arowana
Ikan Arowana merupakan spesies komersil bernilai tinggi yang unik dan hanya ditemui di Kepulauan Melayu. Projek ternakan Arowana merupakan satu industri bernilai tinggi dan mempunyai potensi yang besar. Melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan dan mendatangkan pulangan yang lumayan.
Inisiatif 4: Pemprosesan Produk Agro Makanan
Inisiatif 4 bertujuan membangunkan usahawan di bidang pemprosesan makanan yang menekankan pembangunan dan peningkatan kualiti produk bagi pasaran tempatan dan global. Penekanan juga diberikan kepada aktiviti nilai tambah dan membangunkan usahawan industri asas tani nasional yang bersepadu ke arah peningkatan pendapatan masyarakat tani. Antara tumpuan produk pemprosesan agro-makanan di Perak meliputi:
- Kuih Tradisional (e.g: Putu Perak)
- Minyak Kelapa Dara
- Jeruk Buah-buahan
- Telur Asin
- Kordial/Jus
- Sos
- Kerepek (Ubi/Pisang)
- Makanan Sejuk Beku
- Herba
Inisiatif 5: Pengurusan Rantaian Bekalan Hasil Makanan
Pengurusan rantaian bekalan hasil makanan merupakan:
- satu konsep merasional semula pemasaran melalui pengurusan rantaian bekalan dari peringkat ladang terus kepada pengguna.
- melibatkan proses perancangan, pelaksanaan dan kawalan operasi dalam rantaian bekalan secara cekap dan berkesan.
- merangkumi pergerakan dan penstoran bahan mentah, inventori dan keluaran akhir daripada titik pengeluaran sehingga penggunaan.
Inisiatif 6:Kerjasama Universiti
Kementerian Pengajian Tinggi dipertanggungjawabkan untuk menerajui inisiatif kerjasama universiti dalam memperkukuh jalinan Luar Bandar dan Bandar. Program Sukarelawan Pelajar (Volunteerism) dan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program) merupakan tonggak kepada inisiatif ini. Program ini diharap dapat mewujudkan kesedaran di kalangan pelajar dan dapat melahirkan masyarakat berilmu bagi mencapai objektif mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat
luar bandar. Aktiviti-aktiviti kesukarelawan yang akan dilaksanakan di dalam program ini adalah seperti Health for Malaysia, Educate Malaysia dan Rural Ambassador.
Inisiatif 7: Perkhidmatan Keselamatan Makanan dan Farmaseutikal
Terdapat 2 program utama yang akan dilaksanakan di bawah inisiatif ini iaitu:
a. Jaminan Keselamatan Makanan
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai daripada ancaman kesihatan dan penipuan dalam penyediaan,penjualan dan penggunaan makanan. Aktiviti-aktiviti keselamatan makanan dilaksanakan melalui peruntukan-peruntukan di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. BKKM juga menawarkan beberapa pengiktirafan bagi membantu pihak industri makanan menghasilkan makanan yang selamat termasuk Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M) yang telah dilancarkan pada November 2010 yang secara khusus untuk membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
b. Jaminan Keselamatan Ubat Tradisional dan Produk Kosmetik
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, KKM bertanggungjawab memastikan produk tradisional berdaftar dan kosmetik bermodifikasi yang dihasilkan oleh pengiklan tempatan ataupun diimport untuk pasaran tempatan adalah selamat, efektif dan berkualiti. Pengilang produk tradisional ataupun kosmetik akan dibantu dalam pendaftaran ataupun notifikasi produk keluaran syarikat mereka.
Inisiatif 8: Kemudahan Pembiayaan Kewangan Kepada Penduduk Luar Bandar
Kementerian Kewangan dengan usaha sama institusi kewangan dan agensi Kerajaan telah menyediakan kemudahan pembiayaan mikro kredit kepada peminjam di kawasan RTC. Skim-skim pembiayaan tersebut menawarkan kadar faedah / keuntungan yang rendah bertujuan untuk membantu para usahawan menjalankan aktiviti perniagaan di RTC.
Antara Institusi Kewangan dan kemudahan pembiayaan yang disediakan adalah seperti berikut:-
a. Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) - Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah
b. Bank Simpanan Nasional – Menyediakan pembiayaan mikro.
c. Agrobank – Menyediakan pembiayaan mikro pertanian.
d. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) – Menyediakan pembiayaan kepada usahawan secara pakej dengan pembangunan keusahawanan untuk membantu usahawan Bumiputera dalam bidang Peruncitan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
e.TEKUN Nasional - Menyediakan Pembiayaan Mikro Dan Perkhidmatan Sokongan Pembangunan Keusahawanan.
f.SME Bank – menyediakan pembiayaan kepada PKS.
g.Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM) – menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera. Melalui skim ini, MARA bekerjasama dengan bank komersil yang menawarkan kemudahan pembiayaan dan MARA bertindak sebagai penjamin.
h. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) – Skim Ar-Rahnu merupakan skim pinjaman yang dikeluarkan bersandarkan emas sebagai cagaran dan peminjam diberi margin pembiayaan sehingga maksimum 65% atau tidak melebihiRM5,000.00.
i. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) – menyediakan kemudahan mikro kredit beserta bimbingan dan latihan berterusan kepada isi rumah miskin, termiskin dan usahawan ikhtiar.