Pelaksanaan kuota kubis bulat pada permulaannya telah ditadbirkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 1969. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kemudiannya telah mengambil alih tugas mentadbir kuota kubis bulat mulai tahun 1987. Pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) telah menurunkan kuasa seperti yang terdapat di bawah Perintah Duti kastam (Larangan Mengenai Mengimport) 1988 kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) bagi mengeluarkan lesen import.
Sejak Oktober 1992, 12 buah konsortium telah ditubuhkan dan pemberian AP hanya diberikan kepada konsortium. Sehingga Disember 2002, sejumlah 17 konsortium telah ditubuhkan di mana ahli-ahlinya terdiri daripada lebih dari 200 syarikat yang memegang permit import kubis yang terdiri dari bumiputera dan bukan bumiputera.
Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan dan bertanggungjawab untuk mentadbirkan pemberian kubis bulat. Jawatankuasa tersebut iaitu Jawatankuasa Mentadbir Lesen Import/Eksport Hasil-Hasil Pertanian adalah dipengerusikan oleh Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan (ITTP), MOA dan Ahli-ahli Jawatankuasa terdiri daripada pegawai dari FAMA dan Jabatan Pertanian.
Jawatankuasa ini bermesyuarat sebulan sekali. Agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa ini ialah:-
- Menentukan jumlah kuota import kubis bulat setiap bulan dan kuota biji kopi tidak digoreng pada setiap tiga bulan sekali.
- Memberi keputusan untuk menerima atau menolak permohonan baru berdasarkan kriteria pemohon.
- Menimbang rayuan daripada syarikat-syarikat yang telah ditolak pemohonnya.
Penentuan kuota import bulanan kubis adalah berdasarkan kepada faktor bekalan dalam negeri, permintaan, eksport dan harga pasaran semasa. Formula yang dikirakan adalah seperti berikut:-
Q = P - (K - E)
P = Penggunaan kubis bulat sebulan berdasarkan kepada Kajian Isi Rumah FAMA 1991
K = Pengeluaran kubis bulat sebulan berdasarkan kepada Kajian Bekalan FAMA
E = Anggaran eksport kubis bulat berdasarkan Purata Eksport tiga bulan terakhir
Q = Kuota Import Bulanan kubis bulat
Contoh Penetapan Jumlah Kuota Bulanan
Q = P - (K - E)
= 7,876 - (2,999 - 352)
= 4,525 MT
Pengagihan kuota kepada konsortium adalah berdasarkan kepada formula yang diuruskan oleh FAMA. Terdapat 2 jenis pengagihan kuota iaitu kuota tetap dan kuota berubah.
Para pengimport yang ingin mengimport kubis bulat ke dalam negara perlu mendapat kelulusan AP (Approval Permit) dari Jawatankuasa Mentadbir Lesen Import/Eksport Hasil-hasil Pertanian. Borang permohonan boleh didapati di pejabat FAMA dan diisi lengkap sebelum dihantar kembali ke pejabat FAMA. Pihak FAMA terlebih dahulu akan memproses permohonan AP ini dan membuat ulasan sebelum dibentangkan di mesyuarat bulanan untuk diberi keputusan. Kriteria-kriteria yang telah ditetapkan untuk seseorang itu memperoleh AP ini adalah:-
- Pemohon yang mendapat kontrak di mana-mana Jabatan Kerajaan atau Badan Berkanun untuk membekalkan sayur-sayuran.
- Pemohon-pemohon yang sedang bergiat secara langsung (pemborong dan peruncit) dalam perniagaan sayur-sayuran sekurang-kurangnya tiga tahun.
- Pemohon yang mempunyai tempat perniagaan sendiri serta mempunyai alat-alat perkakas yang lengkap dan kenderaan untuk mengendalikan perniagaan import dan menjual sayur-sayuran.
- Konsortium-konsortium akan diberikan keutamaan berbanding dengan pemohon-pemohon individu.
- Pemohon yang mempunyai rekod perniagaan yang baik. (Carta Aliran Kelulusan Pengeluaran AP Kobis Bulat Seperti di bawah)
Pada tahun 2000, Jawatankuasa telah menjalankan penyemakan terhadap prestasi aktiviti pemegang-pemegang AP berkaitan dengan pengimportan kubis bulat melalui laporan ROC (Pendaftar Syarikat) dan ROB (Pendaftar Perniagaan) pemegang terbabit. Adalah didapati lebih dari 58% pemegang AP telah tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kebanyakan daripadanya didapati tidak menjalankan aktiviti pengimportan kubis malahan telah menjual AP mereka kepada pihak lain.
Terdapat juga kes di mana tempoh sah pendaftaran syarikat pemegang AP telah lama tamat dan diandaikan mereka telah tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Sebahagian dari mereka juga didapati telah mewarisi AP import ini dari pemegang asal dan juga telah memegang AP sebelum tahun 1986 lagi. Ada di antara syarikat berkenaan yang telah ditutup.
Pemegang-pemegang AP yang terlibat telah dihantar dengan surat tunjuk sebab mengapa AP mereka tidak boleh ditarik balik. Pelbagai ulasan telah diterima di antaranya menyatakan:-
- aktiviti syarikat telah diambil alih oleh syarikat baru yang menjalankan aktiviti yang berkaitan.
- Syarikat telah menjalankan aktiviti terbabit sejak dahulu lagi.
- Urusan berkaitan pengimportan kubis bulat perlu diserahkan kepada konsortium kerana difikirkan syarikat tidak perlu lagi terlibat di dalam aktiviti pengimportan.