Potensi Batang Lupar Sebagai Pengeluar Hasil Pertanian Negara
Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Program Karnival Jom Berambeh yang diadakan di Stadium Mini, Kampung Beladin baru-baru ini nyata meriah. YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya percaya bahawa kawasan Parlimen Batang Lupar berpotensi sebagai pengeluar hasil pertanian di negara ini.
Penggerak utama ekonomi di kawasan Parlimen ini tidak lain ialah sektor pertanian. Sektor ini perlu dilaksanakan secara komersial agar ia memberi impak besar kepada pendapatan masyarakat di sini dan juga berpotensi sebagai Program 1 Kampung 1 Industri.
Pendekatan yang agresif dilihat mampu untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan, petani dan penternak di kawasan parlimen yang mempunyai keluasan melebihi negeri Perlis dan Melaka itu.
Sektor pertanian memainkan peranan utama terutamanya dari aspek bekalan jaminan makanan Negara kerana ketika ini Malaysia membelanjakan jutaan ringgit untuk mengimport produk makanan bagi menampung keperluan rakyat.
Petani kawasan Parlimen Batang Lupar menarik nafas lega apabila YAB Tan Sri Muhyiddin meluluskan peruntukan 39.7 juta untuk projek sistem saliran bagi kawasan rumah panjang dan kampung di sekitar Batang Lupar. Kerajaan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk pembinaan surau Kampung Hulu Beladin, naik taraf Surau Kampung Tengah Beladin (RM25,000) dan naik taraf Dewan Masyarakat Kampung Beladin (RM500,000).