Malaysia berada di landasan yang betul dan terbaik untuk mendapat kelulusan daripada Kesatuan Eropah (EU) bagi mengeksport produk hasil laut ke negara-negara Eropah. “Sejak Mei tahun lepas sebanyak 14 syarikat dari seluruh negara sudah diiktiraf oleh EU dan berjaya membekalkan produk mereka ke negara Eropah manakala 12 premis kilang pengeluar produk makanan dan hasil laut itu sudah pun mendapat kelulusan EU,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim ketika lawatan ke Kilang Perusahaan Produk Laut Kouk Sui, Sibu, Sarawak.
Buat masa ini, Malaysia sudah mempunyai piawaian HACCP dan sebanyak 42 syarikat perusahaan produk laut itu termasuk beberapa buah dari Sarawak sudah didaftar dan disenaraikan untuk pemeriksaan Pejabat Veterinar Makanan (FVO), EU. Beliau menegaskan, produk hasil laut Malaysia bukannya diharamkan oleh EU tetapi kerajaan Malaysia sendiri memohon dengan sukarela untuk diketepikan buat sementara waktu bagi melaksanakan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh EU.
EU telah menggariskan 18 langkah termasuk kebajikan pekerja untuk dipatuhi oleh syarikat-syarikat di negara ini sebelum produk hasil laut mereka dibenarkan dieksport ke negara-negara Eropah. “Kementerian kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak bagi memastikan pengusaha mematuhi standard yang ditetapkan dan kita juga telah mempunyai beberapa buah kapal nelayan yang mematuhi kebersihan mengikut standard yang ditetapkan oleh EU,” kata beliau.