Kementerian dan LKIM mempunyai tugas dan peranan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi masyarakat nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta membentuk masyarakat nelayan yang maju selaras dengan Objektif dan Misi Korporat LKIM. Dalam RMK-9, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengunjurkan jumlah defisit dagangan sektor makanan akan dapat beransur-ansur dikurangkan dan seterusnya mencapai imbangan positif pada tahun 2010. Bagi mencapai matlamat tersebut, LKIM turut merangka strategi serta program pembangunan dengan lebih komprehensif dan dinamik yang menjurus ke arah pemodenan sektor perikanan. Tumpuan diberikan untuk peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi moden, memaksimumkan penggunaan sumber serta meningkatkan kualiti dan keselamatan produk-produk perikanan. Penumpuan kita juga adalah untuk memajukan industri asas tani dengan membantu masyarakat nelayan yang terdiri daripada nelayan, isteri nelayan dan belia nelayan menjana pendapatan tambahan. Justeru, atas faktor itulah, LKIM berusaha mewujudkan Program Penempatan Semula Nelayan bagi mewujudkan komuniti nelayan secara berpusat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial. Dalam RMK-8, LKIM telah melaksanakan Projek Perumahan Nelayan Tersusun di beberapa buah negeri berkenaan dengan kerjasama daripada KKLW dan Kerajaan Negeri. Antaranya: 1. Tanjung Dawai Kedah. 2. Sungai Udang, Kedah. 3. Pulau Redang, Terengganu. 4. Penyambong, Johor. 5. Pasir Gogok, Johor. Program Penempatan Semula Nelayan adalah bertujuan mewujudkan sebuah Bandar Nelayan komersil yang tersusun dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti jalanraya, elektrik, telefon dan sebagainya. Selain itu, program ini juga dapat mempertingkatkan ekonomi masyarakat nelayan yang daif bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka melalui Rancangan Industri Perikanan berskala besar dan berkelompok. Selain daripada itu, matlamat kita adalah supaya nelayan mempunyai perumahan sendiri kerana buat masa ini, masih ramai lagi nelayan tinggal di kawasan setinggan. Konsep Pembangunan Penempatan Semula Nelayan yang dilaksanakan secara bersepadu turut melibatkan program pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan melalui tiga komponen utama iaitu: 1. Membina perumahan nelayan tersusun. 2. Membina pusat-pusat pertumbuhan ekonomi nelayan berasaskan industri perikanan. 3. Menyediakan kemudahan infrastruktur setempat dan berkaitan. LKIM akan berperanan sebagai penyelaras pembangunan projek yang akan bertanggungjawab menentukan perjalanan pelaksanaan seperti yang dijadualkan. LKIM juga akan menyelaras projek-projek ekonomi yang akan dijalankan. Antaranya projek akuakultur berteknologi tinggi “Fish Protech” yang akan diuruskan sepenuhnya oleh Majuikan Sdn. Bhd., projek ternakan ikan keli dalam tangki kanvas, pusat pemprosesan ikan, gerai perniagaan kraftangan hasil-hasil laut dan Pasar Nelayan. Projek-projek ekonomi yang akan dijalankan akan melibatkan pemilihan peserta berdasarkan senarai e-Kasih dan peserta yang dikemukakan oleh Persatuan Nelayan Kawasan yang akan dinilai prestasinya. Selain itu, beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian akan turut membantu LKIM dalam menyediakan projek ekonomi untuk peserta. Antaranya adalah Jabatan Perikanan Malaysia yang berperanan membantu dan menyelaras peserta-peserta yang menjalankan aktiviti ternakan ikan keli dalam kanvas dan Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) akan berperanan sebagai agen pemasaran produk-produk yang dihasilkan oleh peserta termasuk hasil tanaman, ternakan dan industri kecil di penempatan nelayan tersebut. Gabungan kerjasama ini akan membantu dalam usaha LKIM menggerakkan masyarakat nelayan menjadi usahawan seterusnya membuktikan bahawa moto Pertanian Adalah Perniagaan dapat direalisasikan. Selaras dengan moto tersebut dan tepat pada masanya, LKIM akan berusaha menggerakkan masyarakat nelayan supaya berfikiran bahawa hasil-hasil perikanan adalah satu komoditi yang bernilai komersil dan perlu diuruskan dengan bijak supaya pulangannya adalah lumayan. |