Pengenalan Di bawah Program Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara, pihak kerajaan telah memperkenalkan Skim Pemilikan Jentera Dan Peralatan Kecil Secara ’Matching Grant’. Skim ini mula dilaksanakan di Kawasan Muda pada tahun 2008 sejajar dengan dasar kerajaan yang sentiasa menggalakan pemilikan sendiri jentera dan peralatan kecil di kalangan peladang-peladang supaya dapat mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pembekal perkhidmatan (service provider). Melalui skim ini, peladang-peladang di Kawasan Muda berpeluang memiliki jentera dan peralatan kecil seperti traktor, jentanam, pembajak dua roda, alat kelengkapan traktor, pam penyembur bermotor, pam air dan mesin pemotong rumput melalui bantuan kerajaan yang dibuat secara ’matching grant’. Pembiayaan Skim 1.Skop Pembiyaan - Merangkumi pembiyaan kos untuk memiliki jentera dan peralatan kecil dalam pengeluaran pertanian terutamanya tanaman padi oleh para peladang.
- Pembiayaan dalam bentuk jentera dan peralatan kecil iaitu bukan dalam bentuk wang tunai.
2.Had Pembiyaan - Maksimum RM10,000.00 bagi setiap permohonan individu (RM5,000 di bawah bantuan kerajaan). Bagi permohonan projek had maksimum bersamaan dengan bilangan empat (4) permohonan individu.
- Had maksimum bilangan jentera dan peralatan bagi permohonan individu adalah sebanyak dua (2) unit dan empat (4) unit bagi permohonan projek.
3.Fokus Dan Keutamaan Pembiyaan - Projek yang dilaksanakan secara Kelompok, Separa Perladangan dan Estet Padi atau peserta-peserta projek Kelompok, Separa Perladangan dan Estet Padi yang diuruskan perlaksanaannya oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
- Aktiviti yang menyokong kepada ’Balance of Trade’ (BOT) dan ’High Impact Project’ (HIP) MoA Inc. seperti projek padi ke arah 10 tan metrik sehektar, ladang kontrak dan lain-lain.
- Aktiviti pengeluaran yang berkaitan dengan aktiviti hiliran PPK seperti kilang padi (Skim Ladang Benih Padi Sah) dan lain-lain.
Syarat-Syarat Permohonan Permohonan skim ini terbuka kepada peladang-peladang di Kawasan Muda yang perlu memenuhi syarat-syarat permohonan yang ditetapkan iaitu : - Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
- Keutamaan kepada ahli PPK.
- Permohonan terdiri daripada pengusaha/usahawan dan peserta-peserta projek Kelompok, Separa Perladangan, Estet Padi serta Skim Ladang Benih. Keutamaan kepada peserta-peserta projek dan ahli-ahli Briged Kerja Projek.
- Jentera dan peralatan kecil yang dipohon bersesuaian dengan projek yang diusahakan dan pengusaha mengusahakan projek pertanian secara langsung/berterusan.
- Setiap pemohon yang berjaya hanya dibenarkan memohon semula dalam tempoh 5 tahun.
- Mempunyai kemampuan menyediakan sebahagian dari kos yang diperlukan.
- Keutamaan bagi yang memasarkan hasil melalui PPK di mana potongan bayaran balik (potong meja) boleh dibuat.
- Setiap permohonan disokong oleh Ketua Unit, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Pengurus Besar PPK dan Pengurus Wilayah MADA.
- Permohonan atas nama syarikat dan perkongsian perniagaan tidak diterima.
Kaedah Pelaksanaan Dalam melaksanakan skim pemilikan jentera dan peralatan kecil ini, kaedah yang telah dilaksanakan adalah dengan membuka permohonan kepada peladang-peladang di Kawasan Muda dimana makluman dibuat secara hebahan melalui Kedah FM, Perlis FM, website MADA, pemasangan ’banner’ di lokasi strategik, makluman kepada Ketua Unit Pertanian Kecil dan pengumuman di surau serta masjid. Peladang-peladang yang berminat perlu melengkapkan borang permohonan yang disediakan oleh pihak MADA sebelum diserah kembali kepada PPK MADA untuk diproses di peringkat PPK, Wilayah dan Ibu Pejabat MADA. Borang-borang yang telah dilengkapkan perlu mendapat pengesahan Ketua Unit dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta disokong oleh Pengurus Besar PPK dan Pengurus Wilayah MADA. Kelulusan setiap permohonan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kelulusan di peringkat Ibu Pejabat MADA. Kemajuan Pelaksanaan Pada tahun 2008, MADA telah mengagihkan sebanyak 813 unit jentera dan peralatan kecil yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.660 juta kepada 799 orang peladang di Kawasan Muda yang terdiri daripada 293 unit jentera pembajak dua roda, 335 unit pam penyembur bermotor dan 185 unit pam air. Pada tahun 2009, MADA telah menerima tambahan peruntukan di bawah skim ini bagi memastikan lebih ramai peladang dapat menerima manfaat melalui agihan bantuan jentera dan peralatan kecil yang dilaksanakan. Sebanyak RM6.452 juta telah diperuntukkan untuk skim ini pada tahun 2009 dimana skim ini telah memberi manfaat kepada 2,267 orang peladang yang meliputi agihan bantuan sebanyak 2,367 unit jentera yang terdiri daripada 1,215 unit jentera pembajak dua roda, 472 unit pam penyembur bermotor, 323 unit mesin rumput, 304 unit pam air, 29 unit traktor empat roda, 19 unit alat kelengkapan traktor dan 5 unit jentanam. Skim ini telah diteruskan pada tahun 2010 dimana melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM1.639 juta dan dijangka seramai 327 orang peladang akan menerima manfaat. Skim ini diyakini boleh membantu peladang dalam mengurangkan kos operasi bagi mengimbangi kenaikan kos input pertanian dan bahan api di samping menjadi penggerak kepada permodenan industri padi di Kawasan Muda serta menyumbang ke arah peningkatan tahap sara diri beras negara. |