|
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenal pasti seramai 98,000 penduduk di negara ini yang layak menerima bantuan subsidi beras melalui sistem kupon setakat ini.
Menterinya Datuk Noh Omar berkata senarai itu berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional atau e-kasih yang dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, senarai perserta dalam kategori miskin dan berpendapatan rendah akan terus disemak sebelum sistem pemberian bantuan itu dilaksanakan akhir tahun ini, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini, Isnin.
Pada minggu lepas, beliau mengumumkan cadangan sistem kupon sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan beras jenis super tempatan 15 peratus hancur (ST 15) di pasaran, sekaligus dapat memastikan bekalan beras jenis itu dapat dinikmati oleh golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Dalam perkembangan lain, Noh berkata sistem borang pelanggan juga akan diperkenalkan November ini bagi memperbaiki keberkesanan sistem penyampaian kementerian itu.
Beliau berkata melalui sistem itu, setiap pelanggan yang datang ke kementerian akan diberikan borang yang mencatatkan nama pelanggan tersebut, tujuan kedatangan dan tempoh masalah pelanggan itu dapat diselesaikan.
Oleh itu, katanya, pelanggan tidak perlu lagi berulang-alik ke kementerian bagi mengetahui status urusan mereka sehingga tempoh yang diberikan itu tamat.
Beliau juga berkata sebuah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP), yang bertindak sebagai jambatan perhubungan antara rakyat dengan kementerian, akan dilancarkan 3 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
MPPP berperanan untuk memastikan rakyat di peringkat akar umbi mendapat penerangan yang secukupnya mengenai dasar, bantuan dan insentif kerajaan untuk membantu mereka menjayakan apa jua projek pertanian, katanya.
-- BERNAMA
|