Penuaian padi akan menghasilkan bahan buangan khususnya jerami. Pembakaran jerami padi selepas musim menuai adalah salah satu proses biasa dalam sistem penanaman padi di negara kita. Malah, pembakaran jerami padi yang dilakukan oleh para petani mampu mengelakkan risiko jangkitan penyakit serta serangan serangga perosak pada musim seterusnya. Walaupun kaedah tersebut dapat membantu kerja-kerja di sawah, namun ia mengundang masalah pencemaran alam sekitar yang mana pembakaran jerami padi dilakukan secara terbuka boleh mengganggu kualiti udara dan penduduk sekitar. Lebih serius, ia mengundang berlakunya kemalangan jalan raya disebabkan asap pembakaran yang tebal. Ini terbukti apabila satu kemalangan jalan raya yang serius di Lebuhraya Utara- Selatan pada awal 2004 membabitkan 20 buah kenderaan akibat pembakaran terbuka. Di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masalah ini menjadi isu besar bagi Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah ( JAS). Pihak MADA telah mengadakan satu perbincangan bagi menangani masalah pembakaran jerami secara berleluasa bersama JAS Negeri Kedah.
Pada 20 Ogos 2007, MADA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Alam Sekitar Malaysia bagi menjalankan Projek Pengkomposan Jerami Padi Menggunakan Cacing Kerjasama MADA-JAS sebagai salah satu altenatif penggunaan semula jerami sebagai kompos untuk tanaman. Untuk melaksanakan projek ini Pertubuhan Peladang Kawasan F-IV Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah dipilih sebagai kawasan printis mengusahakan sebuah projek pemprosesan jerami padi untuk menghasilkan kompos dengan
menggunakan cacing harimau (Eisemia foetida) sebagai agen pemprosesan. Projek penghasilan baja vermikompos ini melibatkan pembinaan bangunan, pembelian induk cacing, pembelian bahan mentah dan mesin atau jentera pengumpul jerami. Jerami padi dikumpul menggunakan mesin baler dan diproses secara rendaman sebelum dijadikan media makanan cacing bersama-sama tinja ternakan. Tinja ternakan cacing tersebut dikumpul dan digredkan sebagai kompos yang berkualiti tinggi.
Proses menghasilkan kompos melalui ternakan cacing ini adalah ringkas dan boleh menjadi contoh kepada petani bagi memulakan projek ini. Selain dapat mengurangkan kos pembelian baja, petani dan peladang juga dapat menambah pendapatan mereka melalui penjualan baja. Penghasilan vermikompos dapat membantu memelihara alam sekitar dengan mengurangkan kegiatan pembakaran jerami secara terbuka. Penggunaan baja organik vermikompos berbanding baja kimia perlu digalakkan dalam membantu meningkatkan kesuburan tanah di dalam sektor pertanian. Projek vermikultur ini menawarkan satu kaedah alternatif pelupusan jerami dengan hasil akhir yang boleh dikomersialkan iaitu baja organik atau kondisional tanah, pestisid semula