Tidak banyak buku-buku atau jurnal di pasaran yang memuatkan hasil penyelidikan sesebuah organisasi untuk dijadikan sumber rujukan. Bertitik tolak dari itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar ( JPV) mengambil inisiatif menerbitkan Malaysian Journal of Veterinary Research sebagai forum untuk mendedahkan pelbagai isu dan penemuan baru dalam disiplin veterinar dan penternakan.
Jurnal ini yang diterbitkan dua kali setahun sebagai jurnal rasmi JPV mencerminkan usaha jabatan untuk menyebarkan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada komuniti veterinar dan industri ternakan hingga ke peringkat antarabangsa. Pelancaran jurnal ini juga amat bertepatan dengan cabaran semasa dalam industri ternakan negara secara amnya. Pelbagai isu dimuatkan di dalam jurnal ini, antaranya, kewujudan penyakit baru dan kebangkitan semula penyakit-penyakit lama yang mengancam keselamatan haiwan dan manusia. Di samping itu, pembaca boleh mendapat maklumat terkini mengenai daya saing industri ternakan yang semakin mencabar, perubahan iklim, kesan alam sekitar dan sumber yang semakin berkurangan. Ia termasuk isu kebajikan haiwan yang semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa perlu ditangani menerusi pendekatan penyelidikan, teknologi dan inovasi. JPV berhasrat untuk menjadikan Malaysian Journal of Veterinary Research sebagai media pilihan kepada semua pihak yang terlibat dalam bidang veterinar dan sains penternakan untuk mendokumenkan hasil penyelidikan dan penemuan baru.
Ini sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan industri ternakan, kesihatan haiwan dan kesejahteraan manusia. Pada masa sama, penerbitan jurnal ini mampu menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada para penyelidik untuk meningkatkan keupayaan mencerna idea dan penemuan baru dalam disiplin masing-masing. Artikel yang dimuatkan dalam Malaysian Journal of Veterinary Research merangkumi segala disiplin berkaitan perubatan veterinar, kualiti dan keselamatan makanan, pengeluaran ternakan, bioteknologi, biodiversiti serta sosio-ekonomi, berlandaskan kepada kemajuan sains dan teknologi.